KOTA BHARU: Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat pembelian ayam secara ‘panik’ susulan kerajaan bertindak mengapung harga bahan mentah itu berkuatkuasa hari ini.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata, pihaknya bimbang tindakan itu boleh mengakibatkan bekalan terputus sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna.
Menurutnya, KPDN Kelantan turut bimbang pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan disebalik kekurangan bekalan untuk menaikan harga bahan mentah itu.
“Buat masa ini, tiada keperluan untuk berbuat demikian (pembelian panik) kerana belakan bahan mentah itu mencukupi.
“Kami (KPDN Kelantan) sentiasa menjalankan pemantauan berkala setiap hari bagi memastikan pengguna dapat menikmati ayam pada harga yang berpatutan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman memberitahu, KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana peniaga yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga terlibat.
Katanya, peniaga diingatkan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan sepanjang masa bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.-UTUSAN