Gagal saman fitnah: Apandi tulis nasib malangnya sendiri kata Hakim

Gagal saman fitnah: Apandi tulis nasib malangnya sendiri kata Hakim

1MDB Najib Jho Low
MOHAMED APANDI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini  menolak rayuan fitnah RM10 juta oleh  Tan Sri Mohamed Apandi Ali  terhadap bekas Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berhubung artikel diterbitkan veteran DAP berkaitan skandal 1Malaysia Berhad (1MDB)

Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam undang-undang dan fakta menolak saman bekas Peguam Negara pada 23 Mei tahun lalu.

“Dalam kes ini, kenyataan yang dipertikaikan (kenyataan didakwa fitnah) telah dibuktikan benar dan wajar. Sekiranya reputasi plaintif (Mohamed Apandi) terjejas, beliau `terbunuh’ akibat perbuatannya sendiri. Beliau adalah penulis kisah malangnya sendiri,” kata Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.

Turut bersidang bersama ialah Datuk Gunalan Muniandy dan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Pada prosiding hari ini, Mohamed Apandi diwakili peguam, M. Rueben manakala Kit Siang diwakili peguam, Sangeet Kaur.

Terdahulu ketika membacakan penghakiman ringkas panel itu selama satu jam 10 minit, Hakim Hadhariah berkata, kegagalan utama plaintif adalah dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Peguam Negara.

PERISTIWA

Kata  hakim itu, terdapat tiga peristiwa penting yang berlaku antara 2015 sehingga 2019 iaitu pemecatan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang dikatakan pada ketika itu sedang merangka kertas pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak; pengumuman Mohamed Apandi bahawa wang yang masuk dalam akaun bekas Ahli Parlimen Pekan adalah derma Arab dan menghentikan siasatan terhadap skandal 1MDB.

“Tiga peristiwa ini mendedahkan bahawa plaintif sendiri, dengan menggunakan namanya sendiri dan kedudukannya sebagai Peguam Negara ketika itu untuk membersihkan nama Najib. Bukankah tindakan plaintif untuk menghentikan siasatan sedangkan beliau sendiri yang menyatakan siasatan tersebut masih belum selesai, merupakan salah guna kedudukan?

“Apabila plaintif memutuskan secara tiba-tiba untuk menghentikan siasatan, bukankah (tindakan) itu hanya mengukuhkan pandangan awam bahawa beliau menyembunyikan skandal 1MDB?” kata hakim itu.

Selain itu, panel terbabit turut bersetuju dengan dapatan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung kredibiliti Mohamed Apandi.

“Keterangan bercanggah yang dikeluarkan oleh plaintif menunjukkan bahawa keengganannya untuk mendapatkan kerjasama pihak luar negara adalah kerana dalam fikirannya, tiada kesalahan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri (Najib).

BUKTI

“Terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa plaintif tidak melakukan apa-apa. Tindakan atau tiada tindakan yang diambil oleh plaintif dalam menangani skandal 1MDB selain hanya memberikan tanggapan kepada rakyat Malaysia bahawa kita sedang menyembunyikan skandal 1MDB untuk alasan yang hanya diketahui olehnya.

“Defendan (Kit Siang) telah berjaya membuktikan semua elemen justifikasi. Oleh itu, defendan meminta penjelasan daripada plaintif. Kami (panel hakim) bersetuju bahawa sebagai seorang ahli parlimen (ketika itu), defendan wajar mengemukakan pertanya berkaitan siasatan skandal itu.

“Sebagai ahli parlimen, defendan mempunyai tanggungjawab untuk menimbulkan persoalan terutamanya isu berkaitan dana awam membabitkan Perdana Menteri (Najib),” kata beliau.

Pada 23 Mei 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Mohamed Apandi terhadap veteran DAP itu kerana mendakwa ahli politik itu telah memfitnahnya dalam artikel mengenai skandal 1MDB.

Dalam samannya yang difailkan pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Kit Siang menulis dan menyebabkan artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” disiarkan portal berita Malaysiakini.

Mohamed Apandi mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara.

Mohamed Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN