MELAKA: Kerajaan negeri telah meluluskan permohonan penjelajahan untuk mencari unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Jasin dekat sini melibatkan kawasan seluas 2,250 hektar.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, usaha pencarian itu telah dimulakan oleh kepemimpinan terdahulu sebelum beliau menerajui pentadbiran pada 31 Mac lalu.
Katanya, buat masa ini NR-REE masih belum ditemui dan masih menunggu laporan lengkap penjelajahan tersebut.
“Dasar Mineral Negara membenarkan kerajaan negeri melaksanakan eksplorasi awal NR-REE. Maksudnya yang tidak mempunyai kesan radioaktif yang tinggi.
“Melaka sebenarnya sebelum saya telah melakukan penjelajahan untuk mencari REE di kawasan seluas 2,250 hektar tetapi masih belum jumpa. Kita sedang menunggu hasil kajian daripada penjelajahan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar ketina Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ab. Rauf ketika membentangkan Belanjawan 2024 Melaka memaklumkan, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif untuk menyokong pelbagai sektor yang berpotensi bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi termasuk membangunkan perlombongan NR-REE. – UTUSAN