KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah membelanjakan lebih RM51 juta untuk membina dan membaik pulih sebanyak 3,322 buah rumah melalui Program Rumah Dhuafa’ bagi tempoh lima tahun bermula 2019 sehingga tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, daripada keseluruhan jumlah rumah berkenaan, sebanyak 645 buah adalah bina baharu manakala 2,677 buah adalah baik pulih rumah.
Menurutnya, rumah-rumah tersebut diberikan secara percuma kepada rakyat dan daripada keseluruhan kos dibelanjakan, sebanyak RM29 juta adalah untuk bina baharu manakala RM22 juta adalah bagi tujuan baik pulih.
“Bermula tahun 2022 kadar harga bagi pembinaan rumah baharu adalah RM55,000 dan baik pulih atau sumbangan bahan binaan tidak melebihi RM20,000 bergantung kepada spesifikasi teknikal dicadangkan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan,” pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab menjawab soalan dikemukakan oleh Dr. Hafidzah Mustakim (Kota Lama-PH) berkenaan jumlah permohonan rumah Dhuafa’ dalam tempoh lima tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu memaklumkan, kerajaan negeri amat komited dalam membantu golongan miskin di Kelantan.
Katanya, mengikut rekod dari 2009 hingga 2023, jumlah keseluruhan bina baharu dan baik pulih rumah adalah sebanyak 8,807 buah dengan 1,343 buah adalah bina baharu dan 7,464 buah adalah baik pulih.
“Kos keseluruhan pula melebihi Rm128 juta dengan sebanyak RM54 juta untuk bina baharu dan lebih RM75 juta bagi baik pulih.
“Kerajaan negeri turut membina rumah mampu milik untuk rakyat dengan harga lebih murah berbanding pihak swasta termasuk di bandar Gua Musang, Labok, Taman Iman Jaya, Wakaf Che Yeh dan di Kok Lanas.
“Ada rumah mampu milik yang baru siap dan dalam pembinaan. Alhamdulillah, banyak rumah mampu milik yang kita buat untuk rakyat,” katanya.-UTUSAN