`Doakan semoga ada keajaiban gencatan senjata' - Utusan Malaysia

`Doakan semoga ada keajaiban gencatan senjata’

Penduduk Palestin melihat tapak Kem Jabalia di Semenanjung Gaza yang musnah diserang Israel pada malam Rabu lalu. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Situasi di sini (Khan Younis, Gaza) sudah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata lagi. Sangat teruk, doakan semoga ada keajaiban untuk gencatan senjata berlaku tidak lama lagi.”

Itu respon rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, ketika ditanya perkembangan terbaru beliau dan keadaan di Semenanjung Gaza khususnya di Khan Younis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Ain menggunakan ayat ‘teruk seteruk -teruknya’ untuk memberikan gambaran suasana di Gaza yang kini masuk hari ke 26 peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera rejim zionis.

“Semakin hari semakin ramai orang yang duduk di tepi jalan kerana rumah mereka dibedil. Baru tadi (semalam) orang sedang beratur membeli roti di kedai bakeri terbunuh akibat dibom.

“Keadaan sama seperti sebelum ini tetapi semakin hari semakin tenat. Hospital ada buat pengumuman bahawa kalau gas sudah habis, pesakit di dalam ICU (unit pemantauan rapi) boleh meninggal dunia. Makanan kurang, air bersih tiada,” katanya menerusi WhatsApp.

MENDADAK

Kata wanita itu, bilangan penduduk di Khan Younis meningkat mendadak dengan terkini mencecah 1.7 juta orang berbanding 500,000 orang sebelum peperangan meletus.

Nurul Air dari Keramat, Kuala Lumpur berkahwin dengan rakyat Palestin, Mohamed Adan Shaat, 33, dan pasangan itu menetap di UAE.

Namun pada 1 Oktober lalu beliau dan suaminya pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza selepas enam tahun melangsungkan pernikahan untuk bertemu keluarga mentuanya.

Sejak itu, dia dan suami terkandas di Khan Younis sehingga kini.

Mengulas mengenai bantuan-bantuan digerak untuk penduduk Gaza, Nurul Ain berkata, sehingga hari ini sudah 500 beg makanan diagihkan kepada 500 keluarga sumbangan rakan media sosialnya, saudara-mara dan rakyat Malaysia.

“Selain itu, sebanyak 50 selimut, 100 botol air bersih, 320 mainan dan gula-gula serta ubat-ubatan turut disediakan. Alhamdulillah untuk segalanya dan terima kasih juga kepada semua yang berkongsi rezeki,” katanya.

Nurul Ain turut berkongsikan bahawa akibat ketiadaan bahan api untuk menggerakkan kenderaan di jalanan, pengangkutan utama beliau dan suami untuk mengagihkan bantuan makanan adalah dengan menaiki kereta keldai.

“Naik kereta keldai sudah, tuk tuk sudah malah teksi menggunakan minyak masak pun sudah. InsyaAllah semuanya akan selamat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN