Dewan Rakyat: Poligami bukan ajaran Pas, kata Tuan Ibrahim

Dewan Rakyat: Poligami bukan ajaran Pas, kata Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap seorang ahli Parlimen PKR yang didakwa sering campur tangan mengenai hal ehwal Islam termasuk berkaitan poligami, dengan apa yang dianggapnya sebagai ‘ajaran’ parti itu. 

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, poligami yang dibangkitkan dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam hakikatnya dibenarkan oleh syarak dan undang-undang Islam. 

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Sim Tze Tzin juga Ahli Parlimen Bayan Baru bersikap biadab kerana mendakwa poligami adalah ajaran Pas. 

“Saya sebut poligami dan ini tidak ada kena mengena dengan isu jumlah yang tak kahwin. Isu poligami seolah-olah ia satu jenayah. Padahal poligami ini dibenarkan oleh syarak dan dalam Islam, ini bukan isu ajaran Pas.

“Beliau (Tze Tzin) ini banyak kali campur tangan dalam urusan melibatkan agama. Saya harap pihak keselamatan kena ambil tindakan. Jangan biarkan orang macam ini membuat kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan orang Islam. Ini bukan soal Pas… ini peraturan agama. 

“Tulisan beliau semalam telah menimbulkan suasana yang sangat tidak selesai dalam kalangan orang Islam, sebab yang dikomen itu bukan soal Pas, tetapi melibatkan agama. Siapa nak buat atau tidak buat (poligami) itu soal kedua, tetapi ini melibatkan ajaran agama. Jadi, polis perlu ambil tindakan,” katanya kepada pemberita di pusat media Parlimen di sini hari ini. 

Ditanya ciapan Tze Tzin di aplikasi X semalam yang mendakwa ajaran Pas tidak membenarkan penganjuran konsert seperti Coldpay, Billie Eilish, Blackpink dan Bollywood, sebaliknya ‘mengizinkan’ hal berkaitan poligami.

Beliau memuat naik ciapan itu beserta dua keratan laporan berita berhubung gesaan pembatalan konsert Coldplay yang telah berlangsung semalam dan satu cetakan skrin memetik beberapa ayat Tuan Ibrahim mengenai poligami.

Bagaimanapun, Tze Tzin telah memadamkan hantaran itu. 

KERAJAAN

Semalam, Tuan Ibrahim dalam perbahasannya mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi sokongan moral kepada golongan ‘bujang senja’ yang mampu untuk berpoligami.

Katanya,  amalan itu boleh menjadi ‘jalan keluar’ kepada jutaan wanita yang  belum berkahwin walaupun selepas umur 30 tahun.

Hujahnya, laporan bancian penduduk Malaysia pada 2010 menunjukkan bahawa 5.56 juta rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke atas membuat keputusan sama ada untuk berkahwin lewat, belum berkahwin, atau langsung tidak mahu berkahwin.

Daripada jumlah itu, katanya, 4.8 juta adalah wanita. Alasan utama yang disebut di sebalik keputusan itu ialah masalah kewangan (56 peratus), tiada calon yang sesuai (18.4 peratus), dan kerjaya (9.4 peratus).

“Saya ingin ambil perhatian bila negara kita ini sensitif soal poligami. Bila (kita) sebut poligami macam buat jenayah. 

“Saya fikir kementerian (pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat) perlu rasional dalam isu ini. Di mana bagi mereka yang mampu, ada kelayakan (dan) boleh adil, satu sokongan moral perlu diberi,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar berasingan hari ini, Pas melancarkan Tabung Musa’adah Khidmat Malaysia sebagai persediaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Tuan Ibrahim berkata, bantuan kemanusiaan itu mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta untuk musim banjir pada kali ini.

Katanya, pada tahun lepas Khidmat Malaysia telah menyalurkan sebanyak RM1.2 juta hasil kutipan orang ramai bagi membantu mereka yang terjejas akibat musim tengkujuh.

“Insya-Allah dalam usaha khidmat Malaysia pertama, kita menyediakan peralatan yang agak segera untuk bantuan. Contohnya bot, kelengkapan sampan, pemindahan dan sebagainya. 

“Saya difahamkan di Khidmat Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)selepas ini untuk kita mengadakan kolaborasi yang lebih kukuh bagi menghadapi bencana banjir pada kali ini,” katanya. 

Bantuan boleh disalur kepada Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana (Khidmat Malaysia) melalui nombor akaun Maybank (5623 8454 2866) dan Bank Islam (122 250 100 37517). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya