Dewan Rakyat lengang, Menteri Kabinet pun ponteng? - Pas   - Utusan Malaysia

Dewan Rakyat lengang, Menteri Kabinet pun ponteng? – Pas  

Mesyuarat Dewan Rakyat lengang tanpa kehadiran ahli Parlimen pembangkang pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan hari ini. -GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Pas bangkit mempertahan tindakan pembangkang yang didakwa ponteng pada mesyuarat Dewan Rakyat sebelah pagi hari ini sehingga menyaksikan seluruh dewan kelihatan lengang. 

Ahmad Fadhli Shaari [PN-Pasir Mas] bertanya adakah menteri-menteri Kabinet juga boleh dianggap sebagai ponteng kerana ramai juga tidak kelihatan dalam Dewan Rakyat kecuali Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa. 

“Kalau dikatakan ponteng, bolehkah dikatakan semua menteri yang tidak hadir kecuali menteri KKM, ponteng pada masa ini?,” soalnya di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau bangkit dalam celahan semasa Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal [PN-Bukit Gantang] ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan.

Syed Abu Hussin kemudian secara sinis menjawab kemungkinan menteri-menteri yang tidak hadir kerana sibuk ‘mengagih peruntukan’. 

“Mungkin menteri sibuk untuk mengagihkan peruntukan,” katanya. 

Syed Abu Hussin sebelum itu dalam perbahasannya memberitahu bahawa ahli parlimen pembangkang selalu hadir ke mesyuarat Dewan Rakyat, bagaimanapun, hanya hari ini mereka pergi ke Istana Kehakiman di Putrajaya untuk memberi bersolidariti berhubung hukuman jenayah syariah. 

“Tapi kami dikatakan ponteng,” katanya. 

LENGANG

Pada awal pagi tadi, mesyuarat Dewan Rakyat kelihatan lengang apabila ahli-ahli parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan berlangsung tidak hadir. 

Difahamkan, kesemua wakil rakyat pembangkang berada di Istana Kehakiman bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Sebelum itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberitahu membenarkan ahli-ahli parlimen bertanya tiga soalan tambahan daripada setiap jawapan lisan diberi menteri. 

Beliau sebelum itu menghentikan seketika soalan lisan Datuk R. Ramanan [PH-Sungai Buloh] kerana mendapati ramai ahli parlimen yang mengemukakan soalan tidak hadir di Dewan Rakyat.

Media hari ini melaporkan, lebih 1,000 orang membanjiri pekarangan Istana Kehakiman menyertai ‘Himpunan Selamatkan Syariah’ turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perhimpunan itu diadakan demi mempertahan mahkamah syariah susulan Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh hari ini bagi menyambung pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya. 

Pihak pempetisyen itu mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen berkenaan terbatal dan tidak sah.

Mereka yang hadir berkumpul sebelum pukul 9 pagi tadi dan ada peserta datang dari jauh seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Turut kelihatan pada perhimpunan itu ialah beberapa pemimpin PN antaranya Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Selain itu turut kelihatan ialah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya