KUALA LUMPUR: Sebanyak 220 peranti meliputi tablet, laptop dan telefon disita Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk tujuan siasatan sejak 2019.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, sitaan terhadap peranti dibuat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Sebelum mana-mana peranti disita, pihak MCMC akan mendapatkan waran dari mahkamah berdasarkan Seksyen 247 kecuali kes-kes berunsurkan kecemasan, barulah MCMC akan mendapatkan kerjasama daripada pihak polis yang anggota berpangkat tidak rendah dari inspektor untuk ambil peranti ikut kuasa Seksyen 248.
“Biasanya, peranti dipulang balik kepada pihak berkenaan dalam tempoh masa tiga hingga empat bulan, kalau tiada tuduhan dibuat di mahkamah. Kalau tuduhan dibuat di mahkamah, maka peranti tersebut perlu dibawa ke mahkamah, semua ini untuk memastikan peranti yang disita untuk siasatan, tidak mengalami kebocoran data,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada perlunya pindaan undang-undang termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 agar hanya anggota polis berpangkat inspektor dan ke atas dibenarkan menyemak telefon bimbit orang awam sebagai langkah untuk menjaga hak privasi dan mengurangkan penyalahgunaan kuasa polis.
Mengulas lanjut, katanya, MCMC diberikan kuasa untuk menyiasat mana-mana kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 246.
DITERIMA
“Siasatan akan dimulakan berdasarkan Laporan Awal Pertama (FIR) yang diterima daripada orang awam. Bertindak atas FIR tersebut, proses pengumpulan maklumat akan dijalankan bagi mengenal pasti individu yang disyaki telah melakukan kesalahan.
“Seterusnya, pemeriksaan akan dijalankan terhadap individu berkenaan oleh pegawai diberi kuasa oleh MCMC sama ada dengan menggunakan waran geledah dari mahkamah di bawah Seksyen 247 Akta 588 atau dengan kerjasama daripada pihak polis berpangkat tidak rendah daripada Inspektor sebagaimana jelas diperuntukkan di bawah Seksyen 248 Akta 588,” katanya.
Katanya lagi, semasa pemeriksaan dijalankan, pegawai diberi kuasa oleh MCMC atau pegawai polis berkenaan mempunyai kuasa untuk mendapatkan capaian kepada data berkomputer seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 249 dan Seksyen 254 Akta 588.
“Siasatan yang dijalankan adalah berpandukan kepada tatacara dan prosedur yang ditetapkan serta mematuhi peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah Akta 588. Kesemua proses-proses siasatan ini dijalankan secara telus dan menyeluruh merangkumi semua aspek bagi memastikan prinsip undang-undang dapat ditegakkan dengan seadilnya,” katanya. – UTUSAN