KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Perikatan Nasional (PN) menghentikan segala usaha untuk mengambil alih kerajaan susulan tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyokong beliau hari ini.
Perdana Menteri berkata, pembangkang seharusnya sedar dengan kedudukan mereka yang kini sudah kehilangan sokongan lima ahli parlimen.
“Saya faham Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Yassin) marah betul sebab Bukit Gantang.
“Tapi tak marah macam mana, tiap-tiap bulan kata nak ambil alih kerajaan, tiap-tiap bulan ada ahli yang keluar. Jadi maknanya, berhenti igauan untuk nak rampas tebuk atap ini, hentikan dulu,” katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, pembangkang seharusnya memainkan peranan lebih baik dan bukan sekadar menuduh kerajaan dengan pelbagai dakwaan.
“Saya tidak kata semua harus sokong kerajaan, tapi lihat apa yang berlaku. Dia (pembangkang) kempen kita ini menentang Islam, negara Melayu sudah tidak ada, pemimpin Melayu sudah hilang, apa dia sahaja wakil Islam dalam dunia ini, mereka sahaja wakil Melayu di dunia ini,” katanya.
Beliau turut membangkitkan semula dakwaan-dakwaan terhadap kerajaan terdahulu termasuk soal peruntukan kepada pembangkang.
PEMBANGKANG
“Masa mereka perintah, harta Melayu mereka sakau banyak, ini kenyataannya. Tiga tahun dalam kerajaan, apa peruntukan dia bagi pada pembangkang. Hukum dan hadis terpakai kepada orang lain tetapi tidak terpakai kepada kamu, baca ayat al-Quran salah guna, kalau betul kenapa dulu tak beri kepada pembangkang.
“Mengapa tiga tahun kamu tak bagi kepada wakil rakyat, kamu baca al-Quran mana masa itu? Jangan guna ayat al-Quran ditunggang untuk kepalsuan,” katanya.
Kata beliau, kerajaan terdahulu juga tidak konsisten dalam soal rasuah, judi dan peruntukan.
“Apa betul atau tidak masa kamu perintah, judi naik 22 kali (cabutan khas nombor ekor), jeritlah sebanyak mana, tak boleh dinafikan kenyatan, masa kamu perintah jana wibawa berleluasa, sakau duit rakyat.
“Masa kamu perintah, peruntukan tidak diberikan kepada wakil rakyat. Tak tak pernah saya katakan peruntukan tidak diberikan, saya kata bincang dengan Timbalan Perdana Menteri kedua (Datuk Seri Fadillah Yusof) seperti mana kami bincang tatkala Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) menjadi Perdana Menteri dan Kota Bharu jadi ahli perundingannya, dia lupa semua itu,” katanya. – UTUSAN