ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Johor 2024 yang merupakan belanjawan surplus sebanyak RM4.21 juta pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, hari ini.
Bertemakan ‘Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat’, Belanjawan Johor 2024 merupakan belanjawan surplus bagi tahun kedua berturut-turut di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menteri Besar berkata, pihaknya menyasarkan unjuran hasil negeri berjumlah RM1.804 bilion tahun depan, manakala unjuran perbelanjaan sebanyak RM1.799 bilion.
“Angka ini menunjukkan Belanjawan 2024 merupakan belanjawan lebihan atau surplus sebanyak RM4.21 juta. Sejumlah RM1.163 bilion pula diperuntukkan sebagai belanja mengurus,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2024 setebal 68 halaman dan mengambil masa hampir tiga jam, di sini.
Menurutnya, Belanjawan Johor 2024 itu digubal bersandarkan enam teras utama inisiatif Maju Johor yang didukung 29 strategi dan disokong 99 inisiatif.
Enam teras berkenaan ialah Tadbir Urus Kerajaan, Pembangunan Ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial, Kemudahan dan Keperluan Asas, Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar serta Orang Muda Johor.
“Semua inisiatif yang dilaksanakan ini telah dirancang dengan teliti kerana berkait rapat dengan perancangan masa depan negeri ini untuk kemakmuran penduduknya.
“Ketika ini, masyarakat sedang berdepan pelbagai cabaran, terutamanya berkaitan kenaikan harga barangan keperluan dan kejatuhan nilai mata wang, sekali gus menyebabkan kenaikan kos sara hidup.
“Sehubungan itu, Belanjawan Johor 2024 ini dilihat sebagai satu kesinambungan perjuangan kita dalam memartabatkan pembangunan ekonomi negeri dalam usaha meningkatkan kesejahteraan Bangsa Johor,” jelasnya.
Terdahulu, Onn Hafiz memberitahu keadaan ekonomi dunia berada dalam ketidaktentuan susulan ketegangan geopolitik global serta gangguan rantaian bekalan yang turut menjejaskan negara ini.
“Meski pun begitu, Johor menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan muncul sebagai penyumbang terbesar bagi perdagangan negara, susulan peningkatan eksport dan import,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan berjumlah RM4.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Peruntukan ini merangkumi 368 projek sambungan dan 142 projek baharu termasuk pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2), pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan, pembinaan Kompleks Hospital Pengajar USIM di Kota Tinggi dan hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia di Pengerang. – UTUSAN