KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan terus melindungi kesejahteraan rakyat dengan memastikan ekonomi kekal membangun melalui dasar-dasar yang dirancang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu Kerajaan Perpaduan berusaha memastikan ekonomi negara sentiasa berada di landasan yang tepat.
Katanya, ini termasuk tanggungjawab kerajaan mengurangkan defisit fiskal tanpa mengabaikan usaha melindungi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi.
Sebab itu kata beliau, sasaran pengurangan defisit fiskal dilakukan secara beransur-ansur iaitu daripada 5.6 peratus pada 2022 kepada 2.0 peratus tahun ini dan seterusnya 4.3 peratus untuk tahun hadapan.
Kata Anwar, melalui inisiatif itu, kerajaan yakin dapat mengurangkan defisit fiskal kepada tiga peratus pada 2025 kerana kesungguhan kerajaan berbelanja secara bertanggungjawab dan berhemat.
“Pengurangan ini tidak dibuat dengan mendadak dan kerajaan mengekalkan dasar fiskal.“Ia akan mengembang dengan jumlah peruntukan perbelanjaan meningkat daripada RM386.1 bilion untuk Belanjawan 2023 kepada RM393.8 bilion untuk Belanjawan 2024.
FISKAL
“Maknanya, walaupun kerajaan memperkukuh pengurusan fiskal supaya lebih mampan, ia diimbangi dengan dasar fiskal mengembang, mengambil kira keperluan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang mencabar,” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat semalam.
RUU Perbekalan 2024 yang diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam memberikan hala tuju Kerajaan Perpaduan dalam memastikan ekonomi negara sentiasa berada di landasan tepat.
Selain itu, menurut Perdana Menteri, Belanjawan 2024 juga mengangkat agenda reformasi dan tatakelola baik bagi meningkatkan ketangkasan perkhidmatan.
Sebagai contoh, kata beliau, RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal telah diluluskan sebelum ini dan kerajaan juga komited membentang Akta Perolehan Kerajaan serta memperkasa institusi Parlimen.
“Kerajaan telah memudah cara perniagaan dan pelabur antaranya termasuk kelonggaran visa untuk pelabur, pelancong dan pekerja ekspatriat dan melaksana levi pekerja asing berperingkat bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan menggalakkan automasi.
“Pembaharuan penyampaian awam termasuk pendekatan pengurusan kewangan inovatif seperti mengkhususkan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) penjualan plat khas yang dibida oleh golongan berada untuk membiayai program kebajikan seperti subsidi topi keledar kanak-kanak, flysiswa dan program Mylesen,” katanya.
KOMITED
Katanya, kerajaan juga komited menyediakan peruntukan pembangunan sekurang-kurangnya RM90 bilion pada 2025 kerana keutamaan kerajaan adalah meningkat momentum pembangunan dengan menstruktur semula ekonomi bagi memacu pertumbuhan.
Berhubung cukai perkhidmatan, katanya, kenaikan cukai itu tidak melibatkan perkhidmatan yang digunakan oleh majoriti rakyat seperti makan, minum, telekomunikasi dan parkir kenderaan yang kekal pada kadar enam peratus.
Menyentuh Cukai Keuntungan Modal (CGT), katanya, ia akan dikecualikan bagi pelupusan saham berkaitan aktiviti Initial Public Offering (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka.
“Cukai ini tidak akan dikenakan ke atas individu yang melupuskan saham tidak tersenarai jika individu ialah pemilik PMKS dan kemudian menjual saham milik beliau tidak termasuk untuk dikenakan CGT.
“Cukai ini juga tidak akan dilaksanakan ke atas saham tersenarai bagi memastikan bursa Malaysia terus kompetetif dan berdaya saing dengan negara serantau di samping mengekalkan keyakinan pelabur asing,” katanya.
Katanya, Cukai Barang Bernilai Tinggi pula bertujuan meningkatkan hasil dengan mengenakan cukai kepada golongan kaya mampu memberi barang bernilai tinggi yang akan mula berkuat kuasa mulai 1 Mei 2024. – UTUSAN










