AstraZeneca berjaya batal saman - Utusan Malaysia

AstraZeneca berjaya batal saman

Syarikat pengeluar vaksin Covid-19 AstraZeneca berjaya membatalkan saman indivdu yang mendakwa menerima kesan buruk kesihatan termasuk meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pe­ngeluar vaksin, AstraZeneca Sdn. Bhd. berjaya membatalkan saman 35 individu berhubung suntikan vaksin yang didakwa memberikan kesan teruk termasuk kematian.
Individu-individu itu terdiri daripada enam waris manakala baki 23 orang adalah penerima vaksin bukan daripada jenis AstraZeneca.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Suzana Muhammad Said memutuskan demikian selepas mendengar hujah peguam, Hemalatha Parasa Ramulu yang mewakili Astrazeneca selaku defendan ketujuh dan peguam, Muhammad Shahrin Satheer yang mewakili plaintif-plaintif di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Secara keseluruhan, terdapat 42 plaintif dalam saman difailkan tahun lalu yang menamakan Kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) Menteri Kesihatan ( Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika itu) dan Ke­tua Pengarah Kesihatan (Datuk Noor Hisham Abdullah) sebagai defendan pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Pfizer Malaysia Sdn. Bhd. (pengeluar vaksin) dan Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. (pengedar vaksin Sinovac) sebagai defendan kelima dan keenam.

Bagi defendan pertama hingga keempat, mereka diwakili Peguam Kanan, M. Barath dan Peguam Kanan Persekutuan, Noorul Fhaiez Nayan manakala Pfizer diwakili peguam Rachel Tey dan Pharmaniaga diwa­kili peguam, Idza Hajar Ahmad Izham.

Daripada jumlah 42 orang individu tersebut, enam daripadanya adalah waris kepada penerima vaksin itu yang didakwa meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin sebagai langkah mengekang penularan wabak COVID-19 dan plaintif lain adalah penerima vaksin termasuk tujuh daripada jenis Astrazeneca.

PENERIMA

Bagaimanapun, empat pe­nerima vaksin Covid-19 jenis Astrazeneca sudah menarik diri daripada kes saman berkenaan.

Penerima-penerima vaksin tersebut mendakwa mereka mendapat kesan teruk selepas mendapat suntikan tersebut termasuk demam berpanjangan, pekak, sakit kepala berterusan dan mengalami masalah penglihatan.

Pada prosiding semalam, mahkamah membenarkan permohonan kesemua defendan untuk mendapatkan dokumen tambahan dan butiran lanjut daripada kesemua plaintif.

Antara dokumen tambahan dan butiran lanjut yang dimohon ialah maklumat mengenai jenis vaksin yang diterima, pusat vaksinasi yang terlibat, masa dan tarikh vaksin diberikan serta laporan perubatan dan rekod kematian.

Menurut penyataan tuntutan kumpulan terbabit, kesemua plaintif mendakwa KKM telah memberi satu deklarasi tidak sah dan suatu persetujuan yang dipaksa untuk mengelakkan mereka diambil tindakan berikutan kesan sampingan teruk melalui suntikan vaksin COVID-19.

Sehubungan itu, mereka menuntut defendan bertanggungjawab atas kesan suntikan vaksin Covid-19 yang memberikan kesan sampingan teruk termasuk menyebabkan kematian, kehilangan upaya kekal dan komplikasi lain yang mengakibatkan kerugian.

Selain itu, plaintif menuntut semua vaksin yang digunakan selepas ini perlu menjalani ujian klinikal dalam keadaan mana laporan klinikal penuh terhadap keberkesanan suntikan Co­vid-19 mengekang transmisi penyebaran wabak Covid-19 perlu dikeluarkan oleh defendan.

Mereka juga menuntut ganti rugi am dan ganti rugi khas yang perlu dibayar defendan akibat daripada kesan sampingan ber­kenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN