SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) digesa mengambil tindakan mahkamah supaya kepincangan dalam anak syarikatnya, UiTM Holdings dapat dibongkar termasuk seandainya wujud ‘tangan ghaib’ yang cuba mengambil kesempatan terhadap syarikat berkenaan.
Bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UiTM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah berkata, ketika masalah itu didedahkan kepada LPU (ketika beliau menjadi pengerusi), ada pegawai terlibat mendakwa mereka diarahkan untuk menandatangani dokumen tertentu berkaitan pemberian modal kepada UiTM Holdings.
“Justeru, sebaiknya dibuat semakan dalam mahkamah dengan memanggil semua yang terlibat, saya pun sendiri bersedia untuk memberi keterangan. Semakan tersebut bukan untuk menuding jari tetapi demi membersihkan nama UiTM dan UiTM Holdings,” tegasnya.
Beliau mendakwa penubuhan UiTM Holdings kini tersasar daripada matlamat asal penubuhannya sehingga menyebabkan mengalami kerugian jutaan ringgit.
“Untuk mencari tambahan dana bagi tabung kecemerlangan akademik, membantu mahasiswa dan pensyarah secara amnya. Antara perniagaan dilakukan pada awal penubuhannya adalah kedai percetakan dan fotostat.
“Bagaimanapun, masalah dalam UiTM Holdings dikesan berlaku sejak 2011. Ketika menjadi Pengerusi LPU UiTM bermula 2021, saya hentikan suntikan dana dan berusaha membaiki tatakelolanya,’’ katanya.
“Saya tidak bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut kerana berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, audit dibuat sejak 2019, malah, saya diberitahu suntikan berlaku sejak 2018, hampir 10 tahun selepas saya tinggalkan UiTM,” katanya.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Ibrahim Abu Shah menafikan beliau terlibat dalam suntikan dana kepada UiTM Holdings sehingga mencecah RM259.98 juta yang dilaporkan tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
Sementara itu, UiTM enggan mengulas isu tersebut sehingga laporan balas terhadap LKAN 2022 dibuat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada minggu hadapan. – UTUSAN










