10 individu ditangkap, rompak cip kasino Genting Highlands - Utusan Malaysia

10 individu ditangkap, rompak cip kasino Genting Highlands

YAHAYA Othman (tengah) menunjukkan cip kasino yang dirampas dalam beberapa siri serbuan membabitkan kes pecah masuk bilik khas kasino di Genting Highlands dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang menahan 10 individu berusia antara 30 hingga 59 tahun termasuk seorang warganegara asing dipercayai merompak kira-kira 1,160 keping cip kasino yang dianggarkan bernilai RM4.6 juta di Genting Highlands, Bentong, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya berkata, susulan laporan dibuat pihak pengurusan keselamatan Kasino Genting Highlands, polis melakukan beberapa siri serbuan dan tangkapan di sekitar kawasan Genting Highlands, Raub, Ampang dan Nilai.

“Hasil siasatan awal, dalam kejadian yang disedari pada 28 Oktober lalu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berkenaan kelihatan dua lelaki memasuki bangunan yang menempatkan beberapa bilik kasino khas dengan menggunakan laluan kecemasan.

“Kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai memecah masuk bilik berkenaan seawal pukul 7 pagi dengan mengumpil pintu belakang bilik kasino tersebut yang digunakan sebagai laluan kecemasan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, polis merampas sebanyak 428 keping cip yang bernilai hampir RM2.99 juta dan wang tunai RM16,438.

Jelasnya lagi, sebanyak 149 keping cip dirampas daripada suspek manakala 279 keping cip yang digunakan oleh suspek diperoleh semula dari pihak kasino.

“Susulan tangkapan yang dibuat itu, polis masih lagi mengesan baki sebanyak 732 keping cip dipercayai telah digunakan.

“Dalam kes ini juga pihak polis mengenalpasti lima orang suspek yang masih bebas. Usaha untuk mengesan dan menangkap suspek tersebut giat dijalankan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah suspek boleh dipenjara sehingga 14 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya