KLUANG: Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 81.9, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, mangsa, Ramly Ahmad, 63, yang menunggang motosikal jenis SYM dilanggar di atas jambatan Sungai Machap berhampiran Kampung Perak oleh Proton X70 yang dipandu B. Jeya, 63, pukul 1.45 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas hujan ketika mangsa dalam perjalanan dari Simpang Renggam menuju ke Pekan Machap, manakala SUV tersebut dari arah bertentangan.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, pemandu kenderaan SUV dipercayai memasuki laluan motosikal mangsa menyebabkan berlaku perlanggaran sehingga penunggangnya tercampak ke atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat.
Pemandu Proton X70 yang berasal dari Teluk Intan, Perak tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan, namun pemeriksaan air kencing didapati negatif dadah serta tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1985. – UTUSAN










