Wajarkah sekolah diheret isu Palestin? - Utusan Malaysia

Wajarkah sekolah diheret isu Palestin?

Gambar satelit kawasan Beit Hanoun di Semenanjung Gaza yang dirakam sebelum perang 1 Mei dan ketika perang pada 21 Oktober lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Kementerian Pendidikan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendi­dikan kerajaan termasuk sekolah-sekolah mencetuskan perdebatan berhubung kewajaran program itu.

Ada yang menyokong usaha tersebut kerana dilihat bertujuan mendidik pelajar terhadap nilai manusiawi selain membetulkan semula fakta mengenai konflik antara Israel dan Palestin.

Namun, segelintir lagi menentang kerana pada pendapat mereka sekolah perlu kekal neutral dan tidak patut mengheret anak-anak kepada isu politik rumit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, Minggu So­lidariti Palestin bertujuan untuk mendi­dik generasi muda mengenai sifat sim­pati dan keprihatinan terhadap penderitaan individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau sosial.

Menurut beliau, pendekatan tersebut sejajar dengan Pembelajaran Abad Ke-21 apabila kaedah pendidikan bukan sekadar dalam kokurikulum semata-mata, sebaliknya merangkumi di luar kelas.

“Malah isu konflik Palestin banyak didedahkan di media sosial, justeru pelajar boleh melihat berita-berita sama ada di media arus perdana atau media sosial. Jadi perkembangan di Palestin perlu diberi kefahaman yang jelas dan secara tidak langsung boleh menerapkan nilai kemanusian sejagat.

KELAS

“Jadi NUTP nampak tiada apa yang salah menganjurkan Ming­gu Solidariti Palestin. Zaman sekarang bukan seperti dahulu, belajar ikut buku teks tetapi kini belajar merangkumi luar kelas, selagi ia tidak berkaitan dengan agenda politik tertentu, maka tiada masalah,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan memaklumkan akan menganjurkan Minggu Solida­riti Palestin bermula 29 Oktober hingga 3 November melibatkan semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan.

Program tersebut turut merangkumi sekolah, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru di seluruh negara.

Presiden Majlis Perundi­ngan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, solidariti Palestin tiada agenda politik untuk menyebelahi mana-mana pihak.

Menurut beliau, generasi muda khususnya pelajar tidak akan memahami isu semasa sekiranya mereka tidak didedahkan perkara sebenar terhadap nasib penduduk Palestin sehingga kanak-kanak dan wanita tidak bersalah turut menjadi mangsa serangan Israel.

KONSISTEN

Oleh itu, kata Mohd. Azmi penganjuran program tersebut konsisten dengan pendirian kerajaan yang tegas mempertahankan Palestin dan menyokong negara itu bebas daripada pencerobohan zionis.

“Kita hendak mengajar ke­sedaran kemanusian kepada anak-anak terhadap kezaliman dilakukan kepada rakyat Palestin. Ini soal hak asasi dan simpati, bukan membawa agenda politik untuk sokong mana-mana kumpulan,” katanya.

Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin berkata, beliau setuju dengan keputusan kerajaan mengarahkan semua sekolah mengadakan minggu solidariti kepada Palestin.

“Saya tiada masalah jika mahasiswa yang menganjurkan program solidariti di institusi pengajian tinggi (IPT), malah sekolah menengah dan sekolah rendah mungkin lebih sesuai dijadikan tempat pengajaran,” kata beliau.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sandakan daripada DAP, Vivian Wong Shir Yee tidak sependapat dan berkata, kerajaan seharusnya menumpukan kepada usaha memberi pendidikan berkualiti kepada pelajar.

“Daripada bercakap soal ini (perang), saya rasa biar pelajar menumpukan perhatian kepada pembelajaran manakala Menteri Pendidikan juga menumpukan kepada usaha memberi pendi­dikan berkualiti kepada pelajar,” katanya.

SEKOLAH

Ahli Parlimen Tawau dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Lo Su Fui berkata: “Saya tidak setuju. Budak sekolah tahu apa tentang isu Palestin ini? Tidak sesuai jika sekolah terlibat dalam hal-hal seperti ini.”

Ahli Parlimen Betong (GPS), Dr. Richard Rapu berkata, kerajaan tidak wajar melibatkan kanak-kanak dalam isu Palestin-Israel kerana sekolah harus tumpu untuk mengajar murid..

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian dalam kenyataan berkata, walaupun beliau bersimpati dengan mangsa konflik Palestin-Israel, arahan Kementerian Pendidikan menyebabkan pelajar perlu berpihak dalam isu geopolitik yang rumit.

“Sekolah sepatutnya kekal sebagai ruang neutral untuk pembelajaran, perkembangan dan pemahaman,” katanya.
Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin ketika perbahasan di Dewan Rakyat mempersoal keperluan ia diadakan, kerana fokus utama sekolah adalah pendidikan pelajar.

“Saya rasa tiada masalah untuk kita bersolidariti menentang keganasan dan jenayah perang. Tetapi apa perlunya kita bawa perkara ini ke sekolah dan libatkan anak-anak yang harus fokus kepada masa depan mereka?

“Saya tidak sokong Israel mahupun Hamas menggunakan kekerasan, sebab saya nobatkan keamanan sejagat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×