‘Tindakan gila, hilang perikemanusiaan’ - Utusan Malaysia

‘Tindakan gila, hilang perikemanusiaan’

Orang ramai melihat sebahagian daripada mayat rakyat Palestin yang terkorban akibat serangan Israel ke atas Hospital Ahli Arab di tengah Gaza baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sera­ngan terbaharu Israel di Hospital al-Ahli Arab di tengah Gaza malam kelmarin sebagai tindakan gila dan hilang perikemanusiaan.

Perdana Menteri berkata, ia serangan keterlaluan Zionis terhadap rakyat Palestin.

“Perkembangan terakhir dan terkini mengenai serangan Israel itu keterlaluan. Apa yang dituduh dan siapapun, ini ialah (akibat) serangan dan perang. Sebab itu, kita kata hentikan.

“Kalau teruskan, yang menjadi mangsa wanita, anak-anak dan pesakit. Ini dah sampai ke tahap gila dan hilang perikemanusiaan,” kata beliau selepas melancarkan Symposium – The Path Towards Greater Prospe­rity For Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau, Malaysia mengulangi beberapa kenyataan sebelum ini selain mendukung beberapa kenyataan sesetengah pimpinan negara luar yang kesal dan mengecam pengeboman hospital di Gaza itu.

Kata Anwar, beliau kesal dengan sikap bermuka-muka negara barat yang kononnya membela hak kemanusiaan di Gaza.

“Paling dikesalkan, negara Barat yang bercakap soal hak kemanusiaan ini rupanya ada kategori. Ada manusia kelas satu dan ada manusia kelas hamba.

“Dan ini yang kita bantah sekeras-kerasnya. Tapi sekarang ada tuduhan pelbagai, saya tak kira soal pokoknya hentikan kegiatan (serangan) ini,” seru Perdana Menteri.

KONFLIK

Anwar berkata, beliau akan bertemu dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman selepas menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) di Riyadh, Arab Saudi bagi mendapatkan perkembangan terkini konflik serangan di Gaza itu.

Beliau berkata, lawatan sehari itu bagi melihat keperluan dan berbincang dengan beberapa pimpinan negara-negara Islam sama ada secara kunjungan atau menghubungi melalui telefon.

Mengikut laporan agensi, pengeboman terbaharu di hospital malam kelmarin mengorbankan lebih 500 nyawa. Semasa serangan hospital itu tersebut menjadi menjadi tempat beribu pelarian Palestin mencari perlindungan.

Sementara itu, beberapa pemimpin dunia turut mengecam serangan berdarah di hospital Gaza.

Antaranya, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menegaskan kepentingan tentera Israel mematuhi undang-undang perang.

“Insiden di Gaza amat mengerikan dan sama sekali tidak boleh diterima. Undang-undang antarabangsa perlu dihormati dalam semua hal. Terdapat peraturan ketika peperangan dan jelas tidak boleh membedil hospital,” katanya.

Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa berkata, serangan ke atas hospital dan orang awam tidak boleh dibenarkan atas apa jua alasan.

“Kami amat marah dengan kehilangan besar nyawa orang awam. Jepun menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa yang cedera dan meninggal dunia,” katanya.
Canselor Jerman, Olaf Scholz menggesa siasatan menyeluruh mengenai letupan berkenaan.

“Saya merasa ngeri melihat imej letupan di sebuah hospital di Gaza. Orang awam yang tidak bersalah cedera dan terbunuh. Penyiasatan menyeluruh mengenai insiden itu adalah penting,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×