Tiga penunggang cedera langgar tapir melintas - Utusan Malaysia

Tiga penunggang cedera langgar tapir melintas

SEEKOR tapir mati dilanggar tiga penunggang motosikal dalam kejadian di Kilometer 79, Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Taman Sri Impian, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Tiga penunggang motosikal cedera pada bahagian tangan, kaki dan bahu akibat terlanggar seekor tapir yang melintas jalan di Kilometer 79, Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Taman Sri Impian, dekat sini malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pukul 8.30 malam itu melibatkan tiga buah motosikal yang ditunggang oleh Suhaimi Aziz, 57, Mohd. Edham Saad, 40, dan Amar Iskandar Aidil, 19.

Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga penunggang datang dari arah Taman Sri Impian menuju ke Taman Sri Lambak sebelum melanggar seekor tapir yang tiba-tiba melintas jalan.

“Akibat kejadian itu ketiga-tiga penunggang motosikal mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan, bahu dan badan dan mereka dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor meminta orang ramai yang menggunakan Jalan Kota Tinggi- Kluang lebih berhati-hati dengan kehadiran tapir di kawasan tersebut. 

Pengarahnya, Aminudin Jamin berkata, kawasan tersebut agak gelap pada waktu malam kerana kerana tiada lampu jalan. 

“Tapir aktif bergerak pada waktu malam begitu juga dengan gajah, kemungkinan besar binatang liar ini bergerak dari Taman Negara Endau- Rompin ke kawasan hutan berdekatan Kluang,” katanya ketika dihubungi hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN