SEREMBAN: Hasrat seorang wanita warganegara Indonesia untuk menghabiskan cuti sehari yang diperoleh untuk bersama rakannya berakhir apabila dia ditangkap dalam penguatkuasaan Op Sabong di Bandar Baru Nilai, di sini, malam tadi.
Wanita berasal dari Medan yang hanya ingin dikenali sebagai Husna, 50, berkata, dia baharu sahaja sampai Nilai setelah mendapat cuti sebagai pengasuh di rumah majikannya di Sepang, Selangor.
Kata Husna, peluang cuti berkenaan mahu digunakannya sebaik mungkin bertemu dengan rakan senegaranya yang bagaimanapun memiliki dokumen perjalanan yang sah ke negara ini.
“Saya datang ke Malaysia sebab tertarik dengan tawaran ejen pekerjaan. Katanya dengan bayaran RM8,000, saya akan dapat kerja di sini, semua dokumen akan diuruskan ejen.
“Saya ini ibu tunggal ada empat orang anak yang masih belajar jadi saya mahu bekerja di negara ini untuk anak-anak saya yang berada di sana,” katanya di sini semalam.
Husna merupakan antara lapan warga asing yang ditangkap kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.
Op Sabong merupakan operasi bersepadu melibatkan agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan Negeri Sembilan yang telah dijalankan sejak 24 Oktober lalu.
Operasi tersebut dijalankan selepas timbul isu berkenaan lambakan warga asing di negeri ini khususnya di kawasan Seremban dan Nilai.
Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan diirnya akan dihantar pulang selepas ditangkap pihak berkuasa, Husna bagaimanapun merayu untuk tinggal lebih lama di negara ini untuk bekerja.
Menurutnya, dia baru sahaja setahun bekerja di negara ini dan datang ke sini juga dalam keadaan mengejutkan.
“Tiba-tiba sahaja saya kena campak naik tongkang dari Dumai (Indonesia). Semua dokumen hilang, ejen pun hilang. Lima jam juga dalam tongkang, saya ingat sampai di pelabuhan tetapi tidak.
“Kami diturunkan di tepi kawasan hutan dan berjalan agak jauh selama sejam, apabila sudah sampai di luar ada kereta yang datang jemput,” katanya yang bekerja kali pertama di Perak juga sebagai pengasuh.-UTUSAN.