Tiada trend kenaikan penyakit kaitan jerebu di Melaka

Tiada trend kenaikan penyakit kaitan jerebu di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka tidak menca­tat trend kenaikan penyakit akibat jerebu yang ketara walaupun indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat melebihi bacaan 100 awal Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, negeri itu mencapai IPU melebihi bacaan 100 pada pukul 2 petang, 1 Oktober lalu, namun indeks itu menurun pada pukul 3 petang, semalam.

Jelasnya, tiga penyakit berkaitan jerebu yang dipantau adalah asma, jangkitan selaput mata konjunktivitis dan jangkitan akut salur penafasan atas.

“Daripada analisis penyakit akibat jerebu yang dipantau, didapati tiada trend kenaikan ketara bagi penyakit-pe­nyakit ini dari minggu kelima (awal bulan Mac) sehingga ming­gu 38 (sehingga 30 September 2023).

“Walau bagaimanapun, pemantauan penyakit akibat cuaca berjerebu masih diteruskan dari semasa ke semasa.

“Jabatan Kesihatan Nege­ri­ (JKN) sentiasa peka de­ngan keadaan semasa cuaca dan sen­tiasa prihatin terhadap kes ber­kaitan penyakit akibat je­rebu dan akan bertindak secara umumnya mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kualiti udara di seluruh negara kelmarin merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat terutama di pantai barat Semenanjung.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, sebanyak 14 stesen mencatat bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Taiping, Batu Muda, Bukit Rambai dan Johan Setia masing-masing pada bacaan 151 manakala Putrajaya, Peta­ling Jaya dan Port Dickson (155) serta Cheras dan Nilai (163).

Selain itu, Klang merekodkan bacaan IPU 134; Banting (156), Seremban (157) dan Alor Gajah (133).

Tambah Hee Sem, bagi pe­ngurusan kesihatan pula, pihak­nya mengikut garis panduan Pelan Tindakan Pengurusan Kesihatan Akibat Jerebu yang telah dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada 2020.

“Kita juga ingin mengambil peluang menasihati orang ramai terutama golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik agar sentiasa menjaga kesihatan dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian jangkitan salur pernafasan akibat jerebu.

“Di antara tindakan pencegahan penyakit akibat jerebu, orang ramai dinasihatkan berada di rumah atau dalam ba­ngunan serta memakai pelitup muka sekiranya berada di luar premis,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×