KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini tidak lagi berdepan dengan masalah gangguan bekalan air sebagaimana yang pernah dialami sebelum ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, setakat ini operasi di HRPZ II berjalan seperti biasa dan pihaknya belum berdepan gangguan-gangguan besar berkaitan masalah tersebut.
“Alhamdulillah, masalah itu sudah selesai dan setakat ini operasi kita di HRPZ II berjalan dengan lancar serta sempurna.
“Kita telah melaksanakan langkah-langkah perlu dalam kadar segera dengan bantuan dari pihak Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Abdul Haris Muhammad dan juga bahagian perkhidmatan hospital,” katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai masalah bekalan air di hospital berkenaan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Pelancaran Sumbangan Kanta Intraokular dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Lions Club International dan HRPZ II, di sini.
Media pada 21 Mac 2021 lalu melaporkan, Pengarah HRPZ II Datuk Dr. Selasawati Ghazali memaklumkan hospital berkenaan sudah berdepan masalah air sejak 10 tahun lalu sehingga memberi kesan kepada kakitangan, pesakit dan juga waris pesakit untuk melaksanakan tugas harian mereka.
Malah katanya, bekalan air hanya berada di capaian baik menjelang malam namun kembali berkurangan apabila waktu kemuncak terutamanya tengah hari.
“Setiap hari penggunaan air di hospital kita agak tinggi sehingga mencecah 500 gelen iaitu bersamaan dengan 1,893 liter.
“Kapasiti pesakit pula hampir 1,000 orang dan jumlah kakitangan pula seramai 4,000 orang, ini tidak termasuk jumlah waris pesakit yang menjaga dan mengunjungi hospital,” katanya.-UTUSAN