ALOR SETAR: Dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terpecah kepada dua kem iaitu menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin hanya spekulasi ditimbulkan dengan niat memecah belahkan parti itu yang semakin kukuh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, perkara itu langsung tidak benar kerana semua pihak dalam Bersatu sebulat suara menyokong struktur kepimpinan sedia ada ketika ini.
Menurut beliau, ketiadaan pemilihan melibatkan jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) serta peringkat bahagian parti itu tahun ini tidak membawa sebarang masalah kepada Bersatu.
“Setakat yang saya tahu, tak timbul langsung soal pasukan Muhyiddin dan pasukan Hamzah. Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membina kekuatan parti hingga sampai ke tahap sekarang.
“Muhyiddin sebagai memulakan segala-galanya untuk parti ini termasuk perlembagaan, lagu dan logo. Tak akan kita nak buang beliau sebagai Presiden pula sedangkan dirinya masih sihat, kuat, kukuh dan bersemangat bagi menerajui parti.
PERANAN
“Manakala Hamzah pula memainkan peranan baik sebagai Setiausaha Agung,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sabtu lalu akhbar ini melaporkan, pemilihan kepimpinan Bersatu dijangka sengit dan tegang ketika parti itu didakwa berpecah kepada dua kem antara Muhyiddin dan Hamzah.
Bagaimanapun Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris memaklumkan, Bersatu tidak akan mengadakan pemilihan melibatkan jawatan-jawatan terlibat pada tahun ini susulan keputusan parti menangguhkan pemilihan hingga tempoh 18 bulan pada Mei lalu.
Mengulas lanjut, Mohd. Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau tidak nampak sebab untuk Muhyiddin diketepikan.
“Tetapi mungkin jugalah dalam Bersatu ada bercita-cita besar setelah melihat kekuatan yang ada pada parti. Mereka sudah mula merasakan yang masa depannya hebat apabila duduk dalam Bersatu,” katanya.
Mohd. Suhaimi berkata, kekuatan Perikatan Nasional (PN) diterajui Muhyiddin sebagai Pengerusi turut perlu diambil kira jika ada pihak bercadang mahu memulakan langkah mengenepikan Ahli Parlimen Pagoh itu.
“Walaupun kalah di Pulai dan Simpang Jeram, namun semua perlu mengakui kekuatan UMNO memang di Johor. Tetapi secara keseluruhannya, Muhyiddin telah melakukan tugas baik,” katanya. – UTUSAN











