SEREMBAN: Polis mengesahkan tiada laporan kejadian seorang anggota tentera dikepung antara 15 hingga 20 warga asing di sebuah kedai karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini seperti dalam sebuah video yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.43 malam, Sabtu lalu yang dibuat seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.
“Lelaki berkenaan yang juga seorang anggota tentera menyatakan pada 7 Oktober lalu dia telah membeli sebuah kerusi berbentuk jari di sebuah kedai karpet bertempat di Nilai 3 dengan harga RM70.
“Kerusi tersebut kemudiannya patah setelah digunakan selama dua minggu. Pada Sabtu lalu lebih kurang pukul 4.30 petang, dia ke kedai tersebut dan meminta untuk tukar ganti kerusi yang baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Malik berkata, semasa dalam kedai itu telah berlaku pertengkaran dan datang seorang lelaki warga asing menghantukkan kepalanya ke dahi pengadu.
“Siasatan awal yang dilakukan mendapati pengadu tidak ada menyatakan 15 orang lelaki warga asing yang mengepungnya, pengadu hanya memberitahu seorang lelaki warga asing telah menghantukkan kepala pada dahinya.
“Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan suspek disyaki seorang lelaki warga asing,” katanya.
Beliau berkata, justeru orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Sebelum ini, tular sebuah video di aplikasi TikTok yang mengatakan seramai 15 hingga 20 warga asing telah mengepung dan menumbuk rakyat Malaysia yang bertugas sebagai askar.-UTUSAN.