PETALING JAYA: Firma guaman, Rosli Dahlan Saravana (RDS) mengesahkan, tiada sebarang dokumen milik anak guam dirampas menerusi serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin.
Rakan-rakan kongsi firma guaman itu dalam kenyataan menegaskan, pejabat firma guaman tidak boleh dicabuli termasuk kerahsiaan dokumen anak guam yang terlindung di sisi undang-undang.
Katanya, dokumen tidak boleh dirampas oleh pihak SPRM berpandukan Seksyen 46 Akta SPRM 2009 yang mengiktiraf ketidakbolehcabulan hukum kerahsiaan maklumat dan komunikasi terlindung anak guaman.
EKSPLOITASI
“Oleh itu, pegawai SPRM tidak dapat mengakses sebarang dokumen anak guam kami. Sebagai firma guaman, kami tegas dalam mencegah sebarang penyalahgunaan, eksploitasi atau paksaan oleh agensi penguat kuasa semasa kami mewakili semua anak guam kami,” kata firma itu dalam kenyataan semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, 12 pegawai SPRM menyerbu RDS pukul 10.30 pagi yang menuntut kuasa penyiasatan untuk mengakses seluruh pejabatnya berhubung dakwaan RDS menerima sogokan kerana membantu kerajaan Persekutuan mencapai penyelesaian antara Goldman Sachs dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SPRM turut menafikan kehadiran pegawainya ke premis peguam tersebut menyalahi mana-mana akta.
Rosli Dahlan merupakan rakan kongsi firma guaman RDS, juga peguam utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan peguam peribadi Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada 2021, Rosli telah menafikan dakwaan menerima sogokan kerana membantu kerajaan Persekutuan mencapai penyelesaian antara Goldman Sachs dengan 1MDB.
JAHAT
Dalam pada itu, RDS menyifatkan serbuan SPRM itu berniat jahat dan menganiaya rakan-rakan kongsi peguam di firma itu.
Dalam satu nota dihantar sumber kepada rakan kongsi firma RDS dilihat Mingguan Malaysia, firma itu menegaskan, dakwaan RDS menerima sogokan kerana membantu kerajaan Persekutuan mencapai penyelesaian antara Goldman Sachs dengan 1MDB adalah tidak benar malah RDS telah membuat dua laporan polis pada 2021 dan 2023 berhubung perkara itu.
Katanya, adalah tidak masuk akal untuk mencadang salah seorang peguamnya atau firma RDS sendiri ‘memanipulasi’ rundingan antara Goldman Sachs, kerana ia diselia oleh pasukan petugas bagi menyelesaikan isu melibatkan skandal 1MDB.
Jelas nota itu, pasukan petugas 1MDB terdiri daripada Peguam Negara (AG); Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM); Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC); Ketua Polis Negara; Pusat Pencegahan Anti-Jenayah Kewangan Nasional (NFCC); SPRM; Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC); dan Kementerian Kewangan diketuai Menteri Kewangan (tidak dinamakan).
Muhyiddin pula mendakwa serbuan SPRM itu sebagai salah guna kuasa oleh pihak tertentu bagi menekan pembangkang secara berterusan.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan ke atas peguam tersebut tiada kena-mengena dengan jawatannya sebagai peguam kepada mana-mana individu atau parti.
“SPRM sedang giat menjalankan siasatan ke atas isu yang melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dengan usaha pemulihan aset 1MDB.
“Kertas siasatan dibuka pada 3 Oktober lalu susulan maklumat yang diterima dan siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam. – UTUSAN










