PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar penipuan sebuah syarikat pembekalan beras di Kedah yang dipercayai ada kaitan dengan kepincangan dalam pengedaran dan penjualan bahan makan ruji itu negara ini.
Satu sumber mendedahkan, syarikat terbabit dipercayai mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri bernilai lebih RM100 juta setahun kira-kira tujuh tahun lalu bagi tujuan pembekalan beras di Semenanjung Malaysia.
Kata sumber itu, berdasarkan kontrak yang diperoleh itu, syarikat terbabit membuat pinjaman bank sebanyak kira-kira RM30 juta sebagai pembiayaan projek tersebut.
“Bagaimanapun, siasatan mendapati pengarah syarikat tersebut berpakat dengan seorang ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan negeri tersebut untuk mengesahkan pembelian dan penghantaran sebanyak 28,000 tan beras setahun bernilai lebih RM100 juta, namun, pembekalan tersebut tidak dibuat.
“Syarikat tersebut dikatakan telah pun menerima amaun kira-kira RM30 juta itu menerusi beberapa transaksi,” katanya.
Kata sumber itu lagi, suspek terbabit juga dikatakan mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu kepada pihak bank semasa proses permohonan pembiayaan pinjaman.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan berkaitan siasatan tersebut. – UTUSAN










