Sindiket pengedaran dadah ke luar negara tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket pengedaran dadah ke luar negara tumpas

KAMARUL ZAMAN MAMAT menunjukkan bungkusan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas daripada sindiket dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu sindiket yang mengeksport dadah ke luar negara tumpas dengan tertangkap tiga ahlinya dalam dua serbuan di sekitar Kulai dan Kempas, di sini minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 33 hingga 40 tahun.

“Hasil serbuan pertama kira-kira pukul 5 petang Selasa lalu ke sebuah premis di kawasan perindustrian Senai mendapati sindiket pengedaran dadah ini menggunakan modus operandi dengan menyorokkan bungkusan dalam soket lampu LED bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Susulan itu, polis melakukan melakukan serbuan ke sebuah kedai tayar di Kempas yang dijadikan tempat pembungkusan dadah tersebut sebelum dieksport ke luar negara menggunakan syarikat kurier. Polis menahan tiga suspek di premis tersebut bersama sejumlah rampasan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 166 peket dadah jenis syabu seberat 10.35 kilogram (kg) bernilai RM341,616, dua buah kereta, sebentuk cincin, tiga jam tangan dan wang tunai berjumlah RM2,920.

Kamarul Zaman berkata, sindiket pengedaran dadah itu dipercayai telah aktif sejak Ogos lalu dan hasil ujian urin mendapati kesemua suspek negatif  dadah dan mereka tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Kesemua suspek ditahan reman selama 12 hari bermula Rabu lalu hingga Ahad ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut memburu dua lagi suspek, iaitu seorang wanita bernama Jiang Bixia berusia 39 tahun dan seorang lelaki, Kong Bin Rui berusia 29 tahun.

“Orang ramai yang mengenali individu ini boleh menghubungi balai polis berhampiran. Suspek ini dipercayai masih di dalam negara dengan alamat terkini kedua-duanya ialah di  Wave Marina Cove,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN