JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen negeri ini menumpaskan sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan khidmat pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang didalangi warga Bangladesh.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, sindiket itu berjaya ditumpaskan menerusi penahanan enam individu melibatkan lima warga Bangladesh dan seorang warga Nepal dengan salah seorang daripada warga Bangladesh itu merupakan pemegang taraf Penduduk Tetap.
“Operasi itu dijalankan di sebuah premis Gelang Patah pada pukul 4.50 petang, Khamis lalu ekoran maklumat awam dan hasil risikan yang dijalankan Unit Tindakan dan Operasi, sepasukan pegawai imigresen.
“Modus operandi sindiket itu ialah seorang warga Bangladesh dipercayai menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan, tiket penerbangan, E-visa dan khidmat pendaftaran Program RTK 2.0 serta PLKS. Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu dan telah mengaut keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihaknya turut merampas empat pasport India, sebuah komputer, sebuah mesin pencetak, enam telefon bimbit, satu set salinan dokumen perjalanan dan permit disyaki palsu serta wang tunai RM320.
“Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Seorang warga Bangladesh berstatus Penduduk Tetap ditahan di bawah Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 ( Akta 155 ) kerana melindungi warga asing,” katanya sambil meminta orang awam menyalurkan aduan dan maklumat berkaitan warga asing kepada pihak berkuasa.
Jabatan tersebut tidak akan berkompromi dengan kegiatan yang melanggar undang-undang dan akan sentiasa memastikan usaha-usaha membanteras sindiket berkaitan PATI dan aktiviti tidak berintegriti sentiasa dilaksanakan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak-pihak yang mengupah atau bersubahat melindungi PATI,” tegasnya. – UTUSAN