Sewa Triton untuk pecah kedai - Utusan Malaysia

Sewa Triton untuk pecah kedai

BAHRIN MOHD. NOH (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas daripada kumpulan pecah kedai dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Tiga lelaki dan seorang wanita sanggup menyewa sebuah kenderaan pacuan roda semata-mata untuk melakukan jenayah pecah kedai di Rompin, Mersing dan Kluang. 

Namun, kegiatan jenayah itu dapat dikesan dan mereka berjaya ditahan pada 20 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, semua suspek yang berusia antara 24 hingga 38 tahun itu ditahan dalam empat serbuan berasingan, iaitu di Taman Wawasan, Kluang dan Kampung Sri Lumpur di Mersing pukul 10 pagi hingga  3 petang hari yang sama. 

“Suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah, suspek kedua mempunyai tiga rekod jenayah dan satu dadah, suspek ketiga (wanita) mempunyai satu rekod dadah dan keempat mempunyai satu rekod jenayah serta tiga dadah. 

“Suspek turut mengaku melakukan pecah masuk kedai dengan lima kes di Kluang, masing-masing satu di Mersing dan Rompin,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Pihaknya merampas dua utas gelang tangan emas, 26 keping kad tambah nilai, beberapa wang tunai bernilai RM960 dan sebuah kereta Proton Gen2 yang dilaporkan hilang di Kampung Gajah di Kluang dengan nilai keseluruhan kira-kira RM25,000 tidak termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipercayai disewa untuk melakukan aktiviti itu. 

Semua suspek kini ditahan reman hingga 25 Oktober ini dan seorang lagi lelaki  dikenali sebagai M. Munisiran, 32, dengan alamat terakhir di Masai dipercayai sebagai dalang jenayah itu masih diburu. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 14 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN