ISKANDAR PUTERI: Seorang kelindan sanggup berhabis RM7,000 bagi menyewa kepala treler dari Kedah semata-mata untuk melarikan ekor kenderaan itu di Kawasan Perindustrian Gelang Patah, di sini pada 18 September lalu.
Walau bagaimanapun, tindakan lelaki itu tidak ‘pulang modal’ apabila hanya sempat menggunakan ekor kenderaan tersebut untuk tempoh dua minggu sebelum dicekup polis pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan ekor treler yang diletakkan di luar kilang daripada pemandu asalnya bulan lalu.
Hasil risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri berjaya mengesan dan menangkap suspek di Taman Nusa sentral, di sini kelmarin.
“Polis berjaya menahan suspek berusia 27 tahun itu ketika sedang memandu treler terbabit kira-kira pukul 2 petang.
“Berdasarkan siasatan awal, kita dapati suspek bertindak melakukan perbuatan itu untuk kegunaannya sendiri, kita masih menyiasat apa muatan yang dibawanya,” katanya dalam sidang media di IPD Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Suspek turut mengecat semula ekor treler itu daripada warna biru menjadi merah bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta nombor casis turut diganggu selain membuat pelekat palsu nama syarikat pada badan treler bagi menunjukkannya sama seperti yang tertera pada kenderaan itu.
“Perbuatan itu terbongkar hasil pemeriksaan ke atas nombor casis serta bahagian ekor yang tidak dicat sepenuhnya di bahagian bawah lori itu,” katanya sambil memaklumkan suspek ditahan reman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 379a (1) Kanun Keseksaan.
Pihaknya masih lagi menyiasat sekiranya terdapat rakan sejenayah yang turut terlibat dalam kegiatan itu. – UTUSAN