KUALA LUMPUR: Kegagalan sebelah tayar pesawat Beechcraft B 200T yang tidak turun semasa mahu mendarat menyebabkan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dekat sini hari ini.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan berkata, pesawat No. 16 Skuadron tersebut ketika kejadian membawa empat anak kapal melakukan latihan penerbangan selepas berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 11.27 pagi.
“Semua anak kapal yang terlibat selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata kenyataan tersebut..
Terdahulu, TUDM dilaporkan akan menubuhkan pasukan penyiasat bagi mengenal pasti punca pesawat B 200T melakukan pendaratan cemas.
Dalam kejadian pukul 1 tengah hari, pesawat TUDM yang berperanan sebagai pesawat rondaan maritim terpaksa melakukan pendaratan cemas.
Media melaporkan, ketika pendaratan cemas itu, pesawat tersebut terbabas dari landasan.
Kejadian itu tular selepas rakaman insiden berdurasi 32 saat dimuat naik di media sosial. – UTUSAN