RTG: Bukan masa untuk eksperimen

RTG: Bukan masa untuk eksperimen

SUKAN Olimpik 2024 di Paris akan berlangsung kurang setahun dari sekarang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Road to Goal (RTG) sepatutnya sudah melangkah jauh memandangkan Sukan Olimpik Paris 2024 hanya tinggal kurang setahun dari sekarang.

Jawatankuasa pemilihan RTG yang akan membuat penilaian semula, esok tidak seharusnya lagi terus melakukan eksperimen, sebaliknya perlu membuat keputusan tepat dan muktamad memilih senarai akhir atlet yang diyakini mampu membutirkan pingat emas pada temasya itu.

Selepas tujuh bulan ditubuhkan, penilai RTG sepatutnya sudah mengetahui siapa pilihan mereka termasuk menilai pencapaian atlet dalam Sukan Asia Hangzhou, baru-baru ini.

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli menegaskan, pencapaian atlet dalam temasya itu sepatutnya menjadi penilaian akhir dan bukan lagi berada dalam fasa eksperimen kerana para atlet sudah kesuntukan waktu untuk terus berada dalam dilema.

Katanya, pingat-pingat yang diraih dalam temasya di China itu seharusnya menjadi penanda aras paling realistik untuk mengecilkan senarai atlet yang benar-benar layak dijadikan sandaran emas sesuai dengan prestasi semasa masing-masing.

“Sudah tentu kita harapkan jawatankuasa RTG buat keputusan berani, terutamanya apabila ada sukan yang disasarkan emas (di Hangzhou) tetapi gagal raih pingat langsung, itu sepatutnya memberi bayangan kepada mengenai keadaan mereka di Olimpik nanti.

“Dulu mungkin semua atlet itu diletakkan dalam kelompok yang besar, jadi kalau sekarang kita nak ambil pencapaian terdekat, sudah tentu Sukan Asia. Di situ ada bukti sama ada atlet yang tersenarai itu bagus atau tidak.

“Bagi saya, sekarang bukan lagi waktu memberi atlet peluang, sekarang adalah masa kita biarkan mereka beri tumpuan penuh kepada latihan untuk Olimpik. Ini adalah fasa akhir penentuan atlet yang layak dan tidak layak, sebab mereka perlu fokus bermula sekarang.

“Kalau masih diberi waktu (untuk beraksi dalam kejohanan untuk baki beberapa bulan akan datang), itu hanya menambah dilema dan kegusaran mereka. Saya harap jawatankuasa penilai bersikap tegas dengan pemilihan yang dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Pekan turut bersetuju dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa tiada tiket automatik buat mana-mana atlet yang sudah layak secara merit ke Olimpik 2024 untuk disenaraikan dalam RTG.

Hannah sebelum ini berkata, tidak mustahil ada atlet yang akan digugurkan daripada RTG apabila jawatankuasa program itu bersidang di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, esok.

Beliau menegaskan, mereka akan melakukan penilaian semula bagi memastikan hanya atlet yang mempunyai peluang besar memenangi pingat, terutama emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 layak berada dalam program berkenaan.

Antara atlet yang berada dalam kedudukan bahaya adalah beregu campuran badminton negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang kini jatuh ke ranking 21 dunia, manakala perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia terumbang-ambing dalam beberapa kejohanan sebelum bergelar juara Terbuka Artik dan naib juara di Denmark bulan ini.

Skuad hoki lelaki yang gagal membawa pulang pingat dalam Sukan Sukan Asia Hangzhou 2022 bulan lalu turut berisiko digugurkan, apatah lagi mereka masih belum melayakkan diri ke temasya empat tahun sekali itu.

Biarpun terdapat kemungkinan berlaku ‘penyingkiran’ atlet, namun itu tidak bermakna ia akan diganti, termasuk oleh mereka yang baru mengesahkan tiket ke Paris 2024.

Tiga atlet negara yang baru mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik 2024 adalah Jonathan Wong (menembak), Nur Shazrin Abd Latif (Pelayaran) serta Bertrand Rhodict Lises (terjun).

Sementara itu, Pekan berkata, RTG diwujudkan bagi menghadiahkan emas dan program kelayakan, justeru setiap sukan perlu menilai semula kemampuan mereka membutirkan pingat itu berdasarkan kedudukan dunia.

“Kita kena tengok juga tahap Malaysia dalam sukan itu, kita layak pun adakah layak yang mampu menang pingat atau hanya sekadar layak? Kalau mereka diletakkan dalam RTG, itu hanya untuk membangkitkan semangat sedangkan program ini untuk mewujudkan emas,” katanya.

Mengulas mengenai status skuasy yang diharap dapat diletakkan dalam projek berkenaan selepas membolot tiga emas, satu perak dan satu gangsa dalam Sukan Asia Hangzhou, Pekan bagaimanapun mempunyai reaksi berbeza.

“Sama ada mereka dimasukkan dalam RTG atau tidak itu bukan persoalannya sekarang sebab kedudukan Malaysia masih jauh dalam ranking dunia. Apa yang perlu difikirkan bagaimana mahu meletakkan skuasy Malaysia dalam 10 teratas dunia, selepas itu baru kita bincang mereka patut masuk RTG atau tidak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN