JOHOR BAHRU: Ribuan pengunjung termasuk pekerja sebuah pusat beli-belah ternama di bandar raya ini terpinga-pinga apabila diarahkan mengosongkan bangunan itu secara tiba-tiba petang tadi.
Keadaan itu menyebabkan timbul kekecohan apabila mereka berkumpul di ruang parkir terbuka di pusat beli-belah itu, sekali gus menimbulkan mengundang pelbagai spekulasi.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati orang ramai masih berada di tempat berkumpul yang diarahkan tanpa mengetahui sebab diarahkan keluar.
Seorang peniaga kedai makan yang hanya dikenali sebagai Saiful, 20-an, berkata, mereka diarahkan mengosongkan bangunan itu kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
“Pada awalnya kami menjangkakan hanyalah latihan kebakaran seperti sebelum ini. Kami agak terkejut kerana ini pertama kali dapat arahan kosongkan bangunan seperti ini, keadaan jadi panik apabila ada kejadian sebenar berlaku.
“Hingga kini kami tidak tahu apa punca kejadian sehingga perlu mengosongkan bangunan,” katanya.
Terdahulu, tular gambar dan video dalam media sosial di pusat beli-belah itu apabila orang ramai berpusu-pusu keluar meninggalkan bangunan dipercayai akibat ancaman bom.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima aduan tersebut dan pemeriksaan sedang dijalankan.
“Kami masih menyiasat perkara itu dan pasukan pengesan sedang menjalankan kerja mengesan aduan berkenaan. Buat masa ini keadaan masih terkawal,” katanya.
Hingga pukul 8.50 malam tadi mendapati sebahagian pengunjung sudah dibenarkan masuk semula ke bangunan itu secara berperingkat-peringkat. – UTUSAN