KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Roger Ng mengenal pasti seorang lagi individu yang berada di luar negara mempunyai kaitan dengan aset berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai jutaan ringgit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penemuan positif itu rentetan siasatan yang dilakukan terhadap bekas jurubank Kumpulan Goldman Sachs untuk melakukan pemulihan aset di dalam dan luar negara.
Bagaimanapun, menurut beliau, identiti individu lain itu tidak boleh didedahkan dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.
“Penjejakan aset-aset berkenaan tidak semestinya melibatkan Roger sebaliknya terdapat individu lain lagi dikenal pasti mempunyai kaitan pemilikan dana 1MDB itu.
“Ini yang sedang dijejak oleh pihak kita (polis). Aset ini tidak semestinya di Malaysia dan boleh jadi berada di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Ramli, siasatan terhadap Roger masih diteruskan dan tumpuan akan diberikan kepada pemulihan aset berkenaan.
“Aset-aset ini berada di pelbagai lokasi jadi ini yang akan jadi tumpuan siasatan. Roger masih lagi dalam tahanan pihak polis,”ujarnya.
Pada 10 Oktober lalu,siasatan PDRM terhadap Roger memfokus kepada modus operandi berkaitan penjualan bon dipercayai dana 1MDB.
SOAL SIASAT
Polis percaya dan yakin soal siasat terhadap lelaki berusia 51 tahun itu akan membawa kepada maklumat-maklumat berkaitan penglibatan suspek lain termasuk suspek utama Low Taek Jho atau Jho Low.
PDRM juga melihat apa modus operasi digunakan, macam mana bon-bon dijual serta berapa komisen yang ada.
Pada 19 Disember 2018, Roger mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu. – UTUSAN
Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini, antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013.
Roger ditahan pada 9 Oktober lalu selepas tiba dari Amerika Syarikat (AS) dan siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. – UTUSAN