Penyakit X: Jangan risau berlebihan, kementerian sentiasa bersedia - Utusan Malaysia

Penyakit X: Jangan risau berlebihan, kementerian sentiasa bersedia

Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Orang ramai tidak perlu bimbang berlebihan mengenai risiko penyakit X walaupun maklumat mengenai kemungkinan ancaman kesihatan penting untuk diketahui orang awam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tahap kebimbangan orang awam itu boleh dikurangkan dengan sentiasa mengikuti garis panduan kesihatan, amalan kesihatan baik dan sering mendapatkan maklumat terbaharu tentang perkembangan penyakit tersebut.

“Individu boleh bersedia untuk menghadapi penyakit ber­kenaan dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam, mengawal berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok.

“Mereka juga dicadangkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat dan mengikuti garis panduan kesihatan yang terbaharu,” kata beliau di sini semalam.

Penyakit X adalah nama diberi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk sejenis patogen yang tidak diketahui dengan potensi untuk menyebabkan wabak di seluruh dunia.

Muhammad Radzi berkata, Malaysia sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan timbulnya penyakit X.

“Kami berkeyakinan boleh menanganinya dengan berkesan berdasarkan pengalaman dengan wabak penyakit sebelum ini termasuk Covid-19, virus nipah, SARS dan MERS-CoV.

“Sistem kesihatan Malaysia juga sentiasa diperkukuhkan untuk tujuan ini. Selain itu, maklumat mengenai wabak penyakit sentiasa disampaikan secara terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak media turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat kepada orang awam mengenai penyakit X.

“Orang awam diingatkan untuk mendapatkan maklumat dari sumber boleh dipercayai. Walaupun kebimbangan mengenai penyakit X adalah wajar, pelaporan yang bertanggungjawab dan komunikasi jelas daripada pihak berkuasa dapat membantu mengurangkan panik.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersedia berdepan apa saja kemungkinan pandemik yang akan berlaku pada masa depan termasuk ancaman penyakit X.

Katanya, kementerian sentiasa membuat pemantauan bagi mengesan sebarang penyakit baharu yang muncul, selain WHO yang turut memberikan amaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN