JOHOR BAHRU: Pihak pengurusan The Mall, Mid Valley Southkey dan St. Giles Hotel Southkey mengesahkan pihaknya menerima ancaman keselamatan menerusi panggilan telefon.
The Mall, Mid Valley Southkey dalam satu kenyataan memaklumkan, panggilan itu diterima pihaknya petang tadi daripada pihak yang tidak dikenali.
“Pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor segera dimaklumkan selesai terima panggilan itu.
“Kami boleh mengesahkan bahawa siasatan oleh pihak berkuasa sedang berjalan dan kami membantu mereka sebaik mungkin.
“Kami telah diarahkan oleh pihak berkuasa untuk mengosongkan kawasan yang terjejas sebagai langkah proaktif,” demikian menurut kenyataan itu.
Terdahulu, ribuan pengunjung termasuk pekerja sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini diarahkan mengosongkan bangunan itu secara tiba-tiba kira-kira 6.30 petang tadi.
Keadaan itu menyebabkan timbul kekecohan apabila mereka berkumpul di ruang parkir terbuka di pusat beli-belah itu, sekali gus menimbulkan mengundang pelbagai spekulasi termasuk ancaman bom.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati orang ramai masih berada di tempat berkumpul yang diarahkan tanpa mengetahui sebab diarahkan keluar gara-gara tular menerima ancaman bom.
Dalam pada itu, The Mall, Mid Valley Southkey memberitahu, pihak pengurusan pusat beli-belah membantu dalam kelancaran pengosongan bangunan itu.
“Keselamatan tetamu, pembeli, penyewa, pekerja dan komuniti tetap menjadi keutamaan kami,” katanya. – UTUSAN