GUA MUSANG: Lebih 50 penduduk di Taman MGH disini diselubungi kebimbangan selepas seekor gajah liar muncul di kawasan perumahan itu untuk mencari makan awal pagi tadi.
Kelibat gajah liar yang sedang membawa buah kelapa itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) rumah milik seorang penduduk di kawasan taman berkenaan.
Seorang penduduk, Muhamad Faez Azmi, 28, berkata, semasa kejadian dia yang sedang nyenyak tidur terjaga selepas dikejutkan dengan bunyi berdengus.
Menurutnya, dia kemudian terus bangun untuk memeriksa keadaan dan terkejut mendapati gajah tersebut sedang berkeliaran di hadapan rumah.
“Saya melihat gajah itu berketinggian lebih 2 meter di hadapan rumah dengan membawa sebiji buah kelapa. Perasaan takut ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu.
“Bagaimanapun, saya sempat merakam video gajah terbabit sebelum menghantarnya ke kumpulan WhatsApp perumahan kerana bimbang takut ada penduduk yang ingin ke masjid terserempak dengan liar berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Ruzaini Bakar, 51, memberitahu kemunculan gajah liar terbabit adalah pertama kali berlaku di perumahan itu sejak lebih 20 tahun lalu.
Katanya, kemunculan gajah liar itu mengejutkan penduduk kerana kawasan perumahan ini terletak di kawasan bandar Gua Musang.
“Kami sudah membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan anggotanya sudah datang pagi ini dan meninjau sekitar kawasan perumahan ini.
“Kami bimbang jika gajah liar ini muncul kembali dan berharap tindakan segera dapat diambil termasuk pemantauan daripada pihak berwajib supaya penduduk rasa lebih selamat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan menerima aduan daripada penduduk di perumahan terbabit.
Katanya, sejurus menerima aduan anggotanya telah bergerak ke tempat kejadian untuk meninjau keadaan.-UTUSAN