Pelajar Politeknik Port Dickson maut dalam kemalangan - Utusan Malaysia

Pelajar Politeknik Port Dickson maut dalam kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang pelajar Politeknik Port Dickson di sini maut selepas kereta yang dinaikinya bersama empat rakan pelajarnya yang lain terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan dalam nahas di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson di sini kira-kira pukul 6.55 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kemalangan tersebut membabitkan semua kereta jenis Perodua Kancil dan sebuah motosikal jenis SYM.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki lima pelajar tahun akhir Politeknik Port Dickson jurusan elektronik itu dalam perjalanan pulang dari Seremban ke Port Dickson setelah selesai menyiapkan tugasan akhir kajian projek mereka.

“Tiba di lokasi kejadian, kereta telah terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri terlebih dahulu. Kemudian datang motosikal dari arah sama tidak nampak halangan kenderaan tersebut dan telah melanggar bahagian belakang kanan kereta.

“Dalam kemalangan itu, penumpang bahagian belakang kereta iaitu seorang lelaki berusia 20 tahun berasal dari Johor telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tangan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang lain termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal mengalami kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN