BATU PAHAT: Seorang pelajar maut dan motosikal ditunggangnya terbakar apabila melanggar bahagian tangki minyak sebuah lori yang membuat pusingan U di Kilometer 13.5, Jalan Batu Pahat-Kluang pukul 7.20 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, ketika kejadian, mangsa, Shahrunizam Mohd. Shamsul, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading dari rumahnya di Parit Sulong ke sekolah.
“Menerusi siasatan awal, mangsa hilang kawalan terhadap motosikal ditungganginya selepas melihat lori berkenaan membuat pusingan U sebelum melanggar bahagian tangki minyak dan berlaku satu letupan.
“Akibat kejadian itu, mangsa cedera parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat,” katanya dihubungi hari ini.
Menurut Ismail, pemandu lori berusia 33 tahun itu tidak mengalami kecederaan dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Saksi awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini diharapkan tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










