NR-REE di Negeri Sembilan dianggarkan bernilai RM30b - Utusan Malaysia

NR-REE di Negeri Sembilan dianggarkan bernilai RM30b

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan dianggarkan mempunyai sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) mencecah nilai RM30 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah tersebut tentunya merupakan nilai yang besar dan kerajaan negeri sudah bersedia untuk memulakan aktiviti perlombongan sumber tersebut di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, beberapa perkara akan terlebih dahulu diberikan perhatian sebelum aktiviti perlombongan dimulakan.

Ia termasuklah dengan melihat prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan selain SOP peringkat negeri yang akan diperincikan kelak.

“Ia hasil yang besar, kalau ikutkan RM30 bilion, ia anggaran sahaja, yang ada di Negeri Sembilan. Kerajaan negeri juga melihat perlunya pusat sehenti yang dapat memastikan perlombongan REE ini dikawal, kami mahu perlombongan ini mengikut peraturan.

“Kami akan ikut SOP kerajaan Persekutuan selain melihat aktiviti perlombongan REE yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Perak. Insya-Allah dalam tempoh akhir tahun ini, kami akan memperincikan bagaimana untuk kita buat SOP di peringkat negeri dan menambah baik prosedurnya,” katanya.

Aminuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa kerajaan negeri dibenar untuk melaksanakan eksplorasi awal REE berdasarkan SOP Sumber Asli REE dan dasar-dasar mineral sedia ada.

Nik Nazmi berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang pertama diadakan semalam.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, antara perkara yang akan diberikan perhatian oleh kerajaan negeri sebelum memulakan perlombongan REE itu adalah berkaitan status tanah kawasan terlibat.

“Ada beberapa perkara yang akan dibawa ke dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu tentang bagaimana melibatkan tanah kerajaan, tanah individu atau tanah syarikat yang akan terlibat dalam perlombongan ini.

“Kita juga sedia maklum, perlombongan yang melibatkan hutan simpan kekal adalah tidak dibenarkan, buat masa ini belum ada kelulusan mengenainya dan perlombongan hanya melibatkan tanah individu, tanah persendirian, tanah syarikat atau tanah kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN