Negeri Sembilan mampu tingkatkan hasil padi enam tan per hektar - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan mampu tingkatkan hasil padi enam tan per hektar

JALALUDDIN Alias (kanan) diberikan penerangan mengenai dron untuk aktiviti pertanian selepas meramikan pada Seminar Teknologi Padi dan Seminar Pemasaran Digital Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Negeri Sembilan Tahun 2023 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan mampu meningkatkan pengeluaran hasil padi di negeri ini dari 4.3 tan per hektar kepada enam tan menjelang tahun 2028 sekiranya kesemua keluasan tanah sawah di negeri ini dapat diusahakan dengan baik.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, negeri ini ketika ini mempunyai keluasan pasel padi seluas 1,992 hektar dan 1,223 hektar yang lazim diusahakan dengan tanaman padi.

Menurut beliau, ia merangkumi 13 skim padi di empat buah daerah iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin.

“Namun, pada tahun 2023 hanya 755 hektar sahaja yang ditanam padi di Negeri Sembilan disebabkan kerja menaiktaraf sistem pengairan di kebanyakan skim padi tersebut.

“Saya yakin bahawa jika semua keluasan tanah sawah dapat diusahakan dengan baik, pengeluaran padi akan dapat ditingkatkan dari 4.3 tan per hektar kepada enam tan per hektar menjelang tahun 2028.

“Seterusnya ia akan menjadi salah satu agenda sekuriti makanan di negeri ini membolehkan kita untuk membina sebuah pusat pemprosesan padi berskala kecil di Negeri Sembilan untuk penghasilan beras kegunaan rakyat di negeri ini,” katanya pada Seminar Teknologi Padi dan Seminar Pemasaran Digital Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Negeri Sembilan Tahun 2023.

Jalaluddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang dalam pada itu berkata, usahawan industri hiliran di negeri ini perlu diberikan pendedahan tentang pemasaran digital seiring dengan perubahan zaman dan teknologi semasa.

“Ramai orang tidak tahu bahawa di Negeri Sembilan mempunyai banyak produk hiliran yang sedap, kerepek ubi yang ranggup, bahulu dan dodol yang mempunyai rasa unik dan tersendiri.

“Seramai 717 projek usahawan yang berdaftar di Jabatan Pertanian namun kini hanya 422 projek usahawan yang aktif maka apabila publisiti dan hebahan ini berjalan dengan baik, pastinya ramai pengunjung dari luar akan datang ke negeri ini untuk mendapatkan barangan tersebut sekali gus membangunkan ekonomi setempat,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya