SEREMBAN: Negeri Sembilan mampu meningkatkan hasil padi daripada 4.3 tan kepada enam tan per hektar menjelang 2028 jika tanah sawah di negeri ini diusahakan secara sistematik.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pada masa ini Negeri Sembilan mempunyai keluasan sawah seluas 1,992 hektar dan 1,223 hektar yang ditanam padi.
Katanya, ia merangkumi 13 skim padi di empat daerah iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin.
“Namun, pada 2023 hanya 755 hektar sahaja yang ditanam padi di Negeri Sembilan disebabkan kerja menaiktaraf sistem pengairan di kebanyakan skim padi tersebut.
“Saya yakin bahawa jika semua keluasan tanah sawah dapat diusahakan dengan baik, pengeluaran padi akan dapat ditingkatkan dari 4.3 tan per hektar kepada enam tan per hektar menjelang tahun 2028.
“Seterusnya ia akan menjadi salah satu agenda sekuriti makanan di negeri ini membolehkan kita untuk membina sebuah pusat pemprosesan padi berskala kecil di Negeri Sembilan untuk penghasilan beras kegunaan rakyat di negeri ini,” katanya pada Seminar Teknologi Padi dan Seminar Pemasaran Digital Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Negeri Sembilan Tahun 2023.
Jalaluddin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang dalam pada itu berkata, usahawan industri hiliran di negeri ini perlu diberikan pendedahan tentang pemasaran digital seiring dengan perubahan zaman dan teknologi semasa.
“Ramai orang tidak tahu bahawa di Negeri Sembilan mempunyai banyak produk hiliran yang sedap, kerepek ubi yang ranggup, bahulu dan dodol yang mempunyai rasa unik dan tersendiri.
“Seramai 717 projek usahawan yang berdaftar di Jabatan Pertanian namun kini hanya 422 projek usahawan yang aktif maka apabila publisiti dan hebahan ini berjalan dengan baik, pastinya ramai pengunjung dari luar akan datang ke negeri ini untuk mendapatkan barangan tersebut sekali gus membangunkan ekonomi setempat,” katanya. – UTUSAN










