TAMPIN: Dua orang pemandu kereta maut apabila kenderaan dinaiki mereka itu bertembung dalam nahas tiga buah kenderaan di Jalan Gemas-Tampin, berhampiran Sungai Kelamah, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemas, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Razeaf Zamri berkata, kira-kira pukul 7.13 malam, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan kemalangan daripada orang awam dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, didapati kemalangan berlaku melibatkan tiga buah kenderaan iaitu dua buah Perodua Kancil dan sebuah Proton Saga Iswara.
“Perodua Kancil berwarna merah yang dipandu oleh seorang wanita berumur 32 tahun dipercayai seorang anggota tentera, sedang menghala ke arah Gemas, disyaki telah bertembung dengan sebuah Proton Saga Iswara yang dipandu seorang lelaki berumur 45 tahun yang dipercayai sedang menghala ke arah Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah.
“Kedua-dua mangsa telah disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia di tempat kejadian. Selepas kedua-kedua mangsa kemalangan yang telah meninggal dunia berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba, mayat mangsa tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Razeaf lagi, sebuah lagi kereta Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu berumur 28 tahun telah melanggar bahagian belakang Proton Saga Iswara dan pemandu tersebut hanya cedera ringan.
Menurutnya, mangsa telah di bawa ke Klinik Kesihatan (KK) Gemas untuk mendapatkan rawatan lanjut.-UTUSAN.









