PETALING JAYA: Laporan penuh tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan 31 mangsa Disember tahun lalu dikeluarkan hari ini.
Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember 2022 adalah kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.
Tragedi pukul 2.30 pagi itu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas runtuhan tanah itu menimbus kawasan perkhemahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idris mengesahkan bahawa laporan mengenai bencana tanah runtuh akan dikeluarkan petang ini.
“Kami akan menyiarkan laporan itu kepada orang awam di laman sesawang rasmi NADMA.
“Laporan itu dikeluarkan dalam pukul 5 petang ini,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Khairul, laporan yang dikeluarkan berhubung siasatan forensik dan melibatkan agensi-agensi keselamatan.
“Antara agensi-agensi keselamatan yang terlibat ialah Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan beberapa universiti,” katanya.
Tahun lalu, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mendedahkan tiga tapak perkhemahan itu tiada lesen untuk beroperasi. – UTUSAN










