Minggu Solidariti Palestin di sekolah lancar, aman - Utusan Malaysia

Minggu Solidariti Palestin di sekolah lancar, aman

Seorang wanita yang cedera mendukung bayinya untuk menyelamatkan diri dalam siri pengeboman Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza semalam. Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penganjuran Minggu Solidariti Palestin di empat negeri yang memulakan minggu persekolahan semalam berlangsung harmoni dan mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan.

Tinjauan di beberapa sekolah di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor mendapati solidariti di semua sekolah kebanyakannya berlangsung serentak dengan waktu perhimpunan pagi yang dimulakan dengan bacaan doa, solat hajat, munajat, bacaan qunut nazilah dan ceramah agama.

Sekolah-sekolah kemudian ada yang mempertonton tayangan dokumentari mengenai sejarah Palestin dan diselang seli dengan lagu-lagu menyentuh isu kemanusiaan.

Sepanjang program tersebut pelajar hanya membawa bendera Palestin sebagai simbol mereka turut bersama penduduk negara itu yang sedang dizalimi Israel.

Di Kedah, antara sekolah menyertai program itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Singkir; SK Tunku Bendahara; SK Baling; SK Bukit Choras; SK Ayer Hitam; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala; SMK Tunku Abdul Aziz; SMK Taman Jelutong dan SMK Jerlun.

Seorang ibu, Murnie Roslie, 36, berkata, anak sulungnya berusia 11 tahun teruja untuk menyertai Minggu Solidariti Palestin dan mendoakan kesejahteraan penduduk negara itu.

“Selepas pulang dari sekolah minggu lalu anak mengajak saya menyiapkan bahan yang berkaitan Palestin dan selepas bertanya kepada rakan-rakan waris lain saya belikan anak mafla yang tertulis ‘Save Palestin’ untuk dia pakai hari ini (semalam).

“Saya harap dia dapat memahami kesengsaraan ditanggung kanak-kanak seusianya di bumi Gaza yang setiap hari bertarung nyawa akibat serangan puak zionis,” katanya.

AKTIVITI

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Dato Wan Kemara, Zainol Abidin Mohamad berkata, pihak sekolah akan melancarkan Minggu Solidariti Palestin pada Rabu ini setelah menangguhkan aktiviti itu minggu lalu.

“Sepatutnya SK Dato Wan Kemara sudah melaksanakan sambutan itu pada 25 Oktober lalu namun setelah mengambil kira Minggu Solidariti Palestin anjuran kementerian bermula hari ini (semalam) kita setuju untuk meminda tarikhnya.

“Namun pengisian program tidak berubah dengan mengikut garis panduan ditetapkan agar tidak timbul sebarang isu sepanjang Minggu Solidariti Palestin dianjurkan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Kementerian Pendidikan memaklumkan akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan di bawahnya bermula semalam hingga 3 November ini bagi menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan penduduk Palestin.

Program itu akan meliputi semua sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru di seluruh negara.
Bagaimanapun, dalam kenyataan kelmarin, Kementerian Pendidikan melarang penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi selain tidak berkompromi dengan aktiviti berbentuk ekstrem.

BENDERA

Di Terengganu, Minggu Solidariti Palestin lancar dengan ramai murid dan pelajar membawa bendera serta mafla Palestin sebagai simbol sokongan kepada rakyat di negara tersebut.

Beberapa ibu bapa terharu dengan solidariti dianjurkan sekolah kerana dapat meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kedamaian dan keamanan sejagat.

Seorang kakitangan awam, Noor Aznida Alias, 43, berkata, tiga anaknya membawa mafla dan bendera Palestin serta plakad yang memaparkan kata-kata sokongan kepada rakyat Palestin.

“Sejak tiga hari lepas, anak telah melahirkan keterujaan mereka kerana dapat menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin di sekolah bersama kawan-kawan dan guru.

“Alhamdulillah, usaha ini memang wajar dibuat oleh pihak sekolah kerana dapat memberi maklumat yang tepat mengenai situasi semasa yang sedang berlaku di negara bergolak itu,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Mastura Ahmad Hafiz, 37, berkata, dia terharu melihat perkongsian gambar dan video yang diberikan oleh guru dalam media sosial WhatsApp kelas dua anaknya sepanjang program solidariti itu berlangsung.

SIMBOLIK

“Pelbagai program dibuat oleh pihak sekolah antaranya sajak, nyanyian lagu-lagu Palestin serta simbolik pelepasan burung sebagai tanda pembebasan al Aqsa,” katanya.

Di Kelantan, pelancaran Minggu Solidariti Palestin di SK Gua Musang (SKOGUM) berlangsung aman dan disertai semua murid.

Tinjauan mendapati, suasana terkawal apabila nyanyian lagu negara Palestin dan bacaan doa disertai lebih 1,000 murid dan 75 guru.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) sekolah tersebut, Zuraida Yazid berkata, pihaknya mengikut garis panduan apabila tidak menonjolkan elemen atau mempamerkan unsur-unsur kekerasan di sekolah.

Katanya, semua murid hanya dibenarkan membawa bendera, sepanduk, memakai mafla dan pengikat kepala tertulis Palestin.

“Sepanjang minggu ini kita akan mengadakan pelbagai aktiviti secara aman melibatkan semua murid guru kerana kita ingin memberi kesedaran supaya hidup dalam suasana harmoni serta berbalah antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di SKOGUM.

Zuraida berkata, pihak sekolah juga melancarkan tabung jika ada murid atau pihak yang ingin memberi sumbangan kepada rakyat Palestin.

Katanya, setiap hari murid dibenarkan membawa mafla dan pada hari Rabu ini mereka bebas memakai baju yang bertemakan solidariti Palestin.

DISAMBUT

Di Tumpat, ibu bapa menyifatkan penganjuran solidatiri Palestin wajar disambut di peringkat sekolah namun jangan ekstrem.

Wan Siti Noor Asiah Wan Jusoh berkata, ini sebagai simbolik kepada keamanan sejagat.

Bagi Mohd Zapni Zainu, 51,berkata, dia turut setuju jika diterapkan soladitiri Palestin agar anak-anak generasi muda didedahkan isu sejagat.

“Isu peperangan di Palestin isu sejagat, pelbagai program dapat diserapkan misalnya solat hajat demi keamanan sejagat, selamatkan Palestin daripada keganasan Zionis,” katanya.

Di Johor, Minggu Solidariti Palestin peringkat Sekolah Kebangsaan Seri Saujana (SESA) di Kota Tinggi mendapat sambutan semua pelajar dan disokong ibu bapa.
Tinjauan mendapati ibu bapa dan anak-anak mengenakan pakaian bertemakan Palestin untuk menunjukkan solidariti dan perasaan simpati atas peperangan yang berlaku di Gaza.

Ada juga antara mereka yang memakai mafla dan pengikat kepala bertulis perkataan ‘Bebaskan Palestin’. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×