KUALA LUMPUR: Mekanisme akaun fleksibel yang akan diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan komited dengan pelancaran akaun tersebut seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024.
“Buat masa ini, akaun KWSP adalah terdiri daripada Akaun I dan Akaun II. Apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, diumumkan akaun fleksibel, kita akan mengumumkan tentang apa maksud akaun ini.
“Akaun III ini boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, ia bagi memanfaatkan dan meringankan beban kewangan ketika menghadapi keperluan di luar jangkaan.
“Sekarang ini sedang dimuktamadkan. Pengeluaran seperti dahulu, kita tidak buat lagi seperti i-Lestari iaitu RM 20.8 bilion, i-Citra RM 21.4 bilion, i-Sinar RM 58.7 bilion serta pengeluaran khas RM44.6 bilion yang berjumlah RM 145.5 bilion,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai status akaun fleksibel KWSP yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024.- UTUSAN