KOTA BHARU: Seorang lelaki etnik Rohingya ditemukan mati dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh rakan senegaranya selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Melor Lama di sini, hari ini.
Mayat mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an ditemukan di kawasan kebun jagung berhampiran rumah yang disewa oleh suspek pada pukul 8 pagi tadi.
Jiran suspek, Tengku Nur Ayuni Tengku Ismail, 29, berkata, dia menyedari mangsa dan rakannya bergaduh selepas terdengar bunyi bising dari rumah tersebut yang terletak bersebelahan rumahnya.
Menurutnya, dia menjenguk keluar rumah dan mendapati suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an memegang sebilah pisau yang sudah berlumuran darah sebaik sahaja keluar dari kebun jagung itu.
“Saya terkejut melihat situasi itu dan terus menghubungi rakan sekampung untuk membuat panggilan kecemasan kepada pihak polis.
“Difahamkan, mangsa datang ke rumah sewa suspek pada waktu solat subuh pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tengku Nur Ayuni memberitahu, dia mengesyaki kedua-dua lelaki Rohingya itu bergaduh di dalam rumah tersebut sebelum mangsa berlari keluar untuk menyelamatkan diri ke dalam kebun jagung.
Katanya, dia terkejut apabila melihat suspek secara tiba-tiba keluar sambil memegang pisau yang sudah berlumuran darah.
“Mangsa dipercayai menggigit lengan kanan isteri suspek ketika wanita itu cuba meleraikan pergaduhan antara kedua-dua lelaki tersebut di dalam rumah.
“Saya mengenali mangsa kerana dia pernah menyewa rumah berkenaan sebelum ini. Dia datang ke rumah tersebut dengan menunggang sebuah basikal pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut mengenai motif pembunuhan sedang dijalankan.-UTUSAN










