SEREMBAN: Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditangkap selepas disyaki terlibat dalam kejadian menembak anjing liar menggunakan senapang patah di Pantai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, aduan tentang kejadian tersebut telah diterima kaunter aduan Balai Polis Pantai daripada seorang lelaki berumur 25 tahun pada pukul 7.43 malam semalam.
Jelas beliau, lelaki itu menyatakan pada pukul 5.42 petang hari yang sama, dia telah terdengar empat das tembakan dari arah belakang ketika sedang memancing berhampiran sebuah kilang pasir di Batu 9, Kampung Golai, Pantai di sini.
“Pengadu mendapati tiga ekor anjing telah ditembak oleh seorang lelaki menggunakan senapang patah. Dua ekor daripada anjing tersebut telah mati manakala seekor telah tercedera dan telah lari dari kawasan tersebut.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya dalam kenyataan kepada pemberita hari ini.
Abdul Malik menjelaskan, susulan daripada kejadian tersebut, pada pada pukul 9.15 malam semalam, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap suspek dan merampas selaras senapang patah bersama sembilan butir peluru dan lima butir kelongsong peluru di sekitar kawasan Pantai dan Sikamat.
Katanya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan permohonan reman telah dibuat ke atas suspek di Mahkamah Majistret Seremban dan diluluskan selama dua hari sehingga 14 Oktober ini.
“Siasatan mendapati suspek menembak anjing liar kerana marah anjing-anjing tersebut cuba menggigit anak suspek dan memakan haiwan peliharaan suspek. Senapang patah yang digunakan adalah milik saudara suspek.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.-UTUSAN.