Lelaki dicekup curi pendawaian elektrik, kabel - Utusan Malaysia

Lelaki dicekup curi pendawaian elektrik, kabel

LELAKI yang diberkas kerana terlibat dengan perbuatan mencuri pendawaian elektrik dan kabel elektrik di Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Polis berjaya  menyelesaikan lima  kes kecurian pendawaian elektrik dan empat  kecurian kabel dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 31 tahun dalam Op Pintu, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, lelaki tersebut  dipercayai terlibat dalam kes kecurian pendawaian elektrik di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Pekan Nanas.

Pihaknya percaya kegiatan tersebut dilakukan lebih daripada seorang dan usaha sedang dilakukan bagi mengesan suspek lain.

Kumpulan tersebut mula aktif pada bulan April tahun lalu dengan menyasarkan premis atau bangunan yang sunyi bagi memudahkan mereka mencuri pendawaian elektrik dan kabel.

“Suspek yang ditahan ini mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan dadah sedang ditahan reman  bagi siasatan lanjut.

“Nilai rampasan yang ditemui pada lelaki tersebut sebanyak RM100 dengan harga jualan bagi sekilogram  tembaga sebanyak RM25,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pihaknya juga akan mengenal pasti peniaga yang membeli barangan yang dicuri sama ada melibatkan peniaga barangan lusuh mahupun individu yang lain.

“Tentunya ada permintaan (pembeli)  yang menyebabkan suspek dan rakan-rakan lain melakukan kegiatan tersebut bagi mendapatkan wang walaupun menyedari bahaya yang ada,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama setahun hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekalinya.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian atau aktiviti jenayah boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah IPD Pontian menerusi talian 07-6869999.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN