Kumpulan SKSBus fokus jadi peneraju bas elektrik penuh selepas bas diesel - Utusan Malaysia

Kumpulan SKSBus fokus jadi peneraju bas elektrik penuh selepas bas diesel

BAS elektrik (EV) keluaran Kumpulan SKSBus untuk Perkhidmatan Bas GoKL di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Syarikat peneraju dalam pembekalan dan pembuatan bas penumpang komersial Malaysia, Kumpulan SKSBus kini memberikan fokus kepada menghasilkan bas elektrik (EV) penuh yang harganya lebih murah pada import.

Kumpulan SKSBus sejak 2019 sudah bekerjasama dalam bidang teknikal dengan Kumpulan CRRC China iaitu pengilang lokomotif eletrik dan rolling stock terbesar di dunia untuk membuat bas EV penuh.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, Kumpulan SKSBus sudah berjaya mengendalikan Perkhidmatan Bas GoKL Kuala Lumpur sejak 2021 di bawah pendekatan “Bina, Miliki, Mengekalkan dan Mengendalikan”.

Kata kenyataan tersebut, sehingga kini, terdapat 75 bas EV beroperasi dengan lancar pada setiap hari dengan jumlah perjalanan terkumpul lebih tiga juta kilometer bersih.

“Penilaian kewangan kami terhadap jumlah kos pemilikan/kilometer sepanjang kitaran hayat, mendedahkan penjimatan positif sehingga 37 peratus dalam bas EV berbanding bas diesel yang mana ia selari dengan Laporan Yale.

“Projek GoKL dikendalikan Kumpulan SKSBus turut diiktiraf dan dianugerahkan oleh The Malaysia Book of Records di bawah National Record for Most EV Buses in Service in December 2022,” katanya kenyataan itu di sini hari ini.

Kata kenyataan syarikat tersebut lagi, bas EV penuh Kumpulan SKSBus mampu melengkapkan perjalanan sehingga 250 kilometer untuk sekali pengecasan.

“Ia boleh membawa 31 penumpang (21 duduk dan 10 berdiri), dan mempunyai kelajuan maksimum 70 kilometer sejam (km/j) tetapi kelajuan optimal adalah sekitar 55-60 km/j.

“Pek bateri lithium ion yang terletak di bahagian belakang bas menyediakan kapasiti 299 kWh dan setelah dicas penuh, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 250 kilometer,” kata kenyataan tersebut.

Kata kenyataan itu, sejak penubuhannya, Kumpulan SKSBus mencatat pertumbuhan perolehan dan pendapatan penjualan luar biasa, konsisten serta memiliki barisan pengeluaran automasi pembuatan yang maju dengan kejuruteraan ketepatan dan peralatan ujian keselamatan moden untuk melakukan ujian ketat ke atas produk akhirnya sebelum ke jalan raya.

“Kumpulan SKSBus melalui unitnya SKS Coachbuilders Sdn. Bhd. mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam industri pembuatan bas.

“Ia antara pengilang bas di Malaysia dengan pengesahan Barangan Buatan Malaysia dan dilengkapi dengan bantuan kilang robotik.

“Syarikat ini sebelum ini pernah menguasai 40 ke 50 peratus pasaran bas dalam negara dan sehingga kini sudah menghasilkan 25,000 bas,” kata kenyataan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya