Kerajaan rugi RM505 juta vaksin luput tarikh, terpaksa dibuang­

Kerajaan rugi RM505 juta vaksin luput tarikh, terpaksa dibuang­

MAS Ermieyati Samsudin pada sidang akhbar di Parlimen semalam yang mendedahkan beberapa kerugian termasuk perolehan vaksin sehingga RM505 juta akibat vaksin tamat tarikh luput.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan kerugian RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin Covid-19 tamat tarikh luput yang berpunca dari­pada kurang permintaan dan kelewa­tan negara menerima vaksin tersebut.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan perolehan berdasarkan unjuran dos vaksin yang diperlukan oleh negara ketika itu.

“Lebihan bekalan vaksin berlaku kerana penurunan dalam jumlah permintaan serta kelewatan penghantaran dos vaksin yang dipesan atau didermakan,” kata laporan PAC yang dikeluarkan semalam.

Dapatan tersebut antara yang terkandung dalam laporan PAC, berhubung Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindu­ngan Diri (PPE) di bawah KKM yang dibentang di Parlimen semalam.

Laporan prosiding penuh tersebut dimuat naik di laman sesawang PAC semalam.

Dalam laporan sama, PAC mendapati kerajaan tidak boleh menuntut ganti rugi terhadap perolehan 104 daripada 136 ventilator rosak yang diterima KKM pada tahun 2020.

“Tiada perjanjian kontrak untuk pembelian 136 mesin ventilator yang dibuat melalui farmaseutikal tempatan menyebabkan kerajaan tidak boleh mengambil tindakan,” kata laporan itu.

BEKALAN

Selain itu, PAC turut mendedahkan berlaku lebihan bekalan peralatan pelindung diri (PPE) dipesan selain kira-kira 850,000 penutup but bernilai RM927,000 akan tamat tarikh luput menjelang akhir 2024.

Menurut PAC, walaupun Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) tiada pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan seperti ventilator, syarikat itu diarah membuat bayaran pendahuluan untuk alat bantuan pernafasan berikutan hubungan rapat antara KKM dan PLSB.

“Ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada pihak yang bertanggungjawab atas kegagalan 104 ventilator (yang diterima KKM).

“Sehingga hari ini, kekaburan peranan PLSB dalam isu ini menghalang (kerajaan) daripada memulakan proses tindakan undang-undang,” kata laporan itu.

PAC juga mendapati wujud kenyataan bercanggah antara KKM dan PLSB berhubung jaminan untuk 136 ventilator.

Pada 16 Februari lalu, me­nurut siri kedua Laporan Ketua Audit Negara 2021, KKM memesan 136 ventilator berharga RM20.1 juta melalui peruntukan darurat.

Bagaimanapun didapati ada antara alat berkenaan rosak. Bagaimanapun, dalam situasi seperti itu, PAC tidak menyalah KKM semata-mata kerana apa yang berlaku ketika itu kritikal.

KERUGIAN

Laporan PAC kemudian menyebut, semua kerugian tersebut terpaksa mengambil kira situasi pandemik yang dilanda kekurangan peralatan perubatan global dan semua negara berlumba-lumba mendapatkan alat tersebut untuk melindungi rakyat masing-masing.

Menurut PAC, lebihan bekalan vaksin menyebabkan kerugian lebih RM500 juta walaupun KKM memanjangkan jangka hayat vaksin sehingga 18 bulan tidak boleh dielakkan.
Ini kerana KKM melakukan pemerolehan berdasarkan unjuran dos vaksin yang diperlukan negara semasa itu.

Sebagai rumusan, PAC me­ngesyorkan pegawai kawalan kerajaan terus melindungi ke­pentingan awam walaupun pe­rolehan dibuat semasa kecemasan.

PAC berkata, dokumentasi untuk perolehan kerajaan mesti dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
PAC kemudian mencadangkan agar KKM menyemak status jaminan untuk semua 136 ventilator dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam perkara itu.

Sementara itu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam sidang media di Parlimen berkata, PAC mengadakan empat prosiding berhubung isu tersebut pada 15 Jun, 22 Ogos, 14 September dan 21 September lalu.

Saksi-saksi hadir bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Kang Siong; Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Datuk Seri Norazman Ayob, bekas Ketua Setiausaha, Datuk Seri Chen Chaw Min; bekas Ketua

Setiausaha, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah dan bekas Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Saksi Pharmaniaga ialah bekas Pengarah Urusan, Datuk Farshila Emran; Pengerusi, Izaddeen Daud dan Ketua Pegawai Operasi, Mohamed Iqbal Abdul Rahman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN